Pada Oktober 2004, Modenas Kristar dilancarkan di pasaran Malaysia

Modenas Kriss 110 merupakan model pertama keluaran Modenas yang mencatatkan jualan antara yang terlaris, serta sangat popular dan masih diingati sehingga kini. Diperkenalkan pada tahun 1996, model kapcai tersebut kemudiannya dilancarkan dalam pelbagai model lain di dalam siri Modenas Kriss. Antaranya seperti Kriss 100, Kriss 2, Kriss 120, dan juga menjadi asas kepada model Modenas Kristar.

Modenas Kristar dilancarkan oleh Datuk Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, pada tarikh 09hb. Oktober 2004 bertempat di Petaling Jaya, Selangor. Ianya menjadi model kesembilan yang dikeluarkan oleh Modenas, mempunyai penampilan serba baharu dan direka secara tempatan oleh pasukan Penyelidikan dan Pembangunan Modenas.

Modenas Kristar masih menggunakan enjin bersesaran 110cc yang dibawa daripada model Kriss 110 (SOHC, 4-stroke, single cylinder, Air cooled), dengan kuasa maksimum yang dihasilkan mencapai 9.0PS @ 8,500rpm dan tork 9.3Nm @ 4,000rpm. Enjin tersebut kemudiannya dipadankan dengan transmisi empat kelajuan. Mempunyai tangki bahan api seluas 4.8 liter, Modenas Kristar dikatakan menawarkan tahap penggunaan petrol sehingga 46.95 km/l @ 90 km/h, lebih menjimatkan berbanding model Kriss 110.

Antara ciri-ciri unik yang dimiliki adalah seperti sistem kunci 4 dalam 1, lampu depan berkembar, ruang barangan di bawah tempat duduk seluas 9 liter, lampu brek kedua dan sistem pengesan kegagalan lampu belakang. Menurut Modenas, sistem tersebut akan memberi amaran kepada penunggang jika lampu belakang tidak berfungsi, dan ianya didakwa sebagai satu-satunya model motosikal yang dilengkapi sistem tersebut.

Modenas Kristar ditawarkan dalam dua varian, masing-masing berharga sebanyak RM 4,254.75 (varian penghidup tendang sahaja) dan RM 4,579.75 (varian penghidup tendang dan elektrik). Kedua-dua harga tersebut merupakan harga atas jalan yang disyorkan, dengan insuran pihak ketiga. Sewaktu pelancaran, EMOS (Edaran Modenas Sdn. Bhd.) selaku pengedarnya, meletakkan sasaran untuk menjual sehingga 10,000 unit model kapcai terbaharu berkenaan menjelang akhir tahun tersebut.

Bagaimanapun Modenas Kristar kurang mendapat sambutan daripada pembeli, dan pengeluarannya telah ditamatkan pada tahun 2006 (sumber dari Wikipedia). Antara kegagalan model tersebut ialah kerana rekaannya yang kurang menepati citarasa pengguna tempatan yang pada ketika itu masih meminati model Modenas Kriss 110. Pada Ogos 2006, atas permintaan ramai, Modenas melancarkan kembali model legenda Modenas Kriss 110, dikenali dengan nama baharu Modenas Kriss 110 SE.

Walaupun gagal di pasaran tempatan, Modenas Kristar kemudiannya telah diperkenalkan di pasaran Greece pada tahun 2006, dikenali dengan nama baharu Modenas Kristar 125. Untuk pasaran Greece, Modenas Kristar 125 dilengkapi enjin bersesaran 120cc dengan kuasa 9.5hp @ 8,500rpm dan tork 9.32Nm @ 4000rpm.