Yamaha RX-135 20th Anniversary model tahun 1985

Sekali pandang, model klasik Yamaha RX-135 keluaran 1985 ini mempunyai daya tarikannya yang tersendiri. Bagaimanapun tidak banyak maklumat yang ada mengenai model istimewa ini, melainkan terdapat lencana 20th di bahagian penutup sisi, yang membayangkan bahawa model ini merupakan keluaran edisi 20th Anniversary.

Pilihan warna untuk model ini juga sangat menarik, apabila ianya dihiasai dengan warna keemasan di bahagian badan dan rim roda, yang kemudiannya diserikan dengan jalur merah dan hitam di bahagian tangki minyak. Yamaha RX-135, atau di pasaran Indonesia ianya dikenali dengan nama Yamaha RX-King, merupakan salah sebuah model dengan produksi terpanjang, bermula tahun 1983 sehingga tahun 2007.

Antara kehebatan motosikal dua lejang ini ialah enjinnya yang bersesaran 135cc dikatakan menawarkan kuasa yang cukup memuaskan. Di pasaran Indonesia, masih terdapat unit-unit terpakai dan NOS yang dijual pada harga yang mahal disebabkan adanya permintaan yang tinggi. Yamaha RX-King kini telah menjadi model legenda.

Sumber gambar : Yamaha Motor Co, Ltd.