Jenama motosikal Voge mungkin kedengaran agak asing, namun seperti yang dijangkakan, ianya merupakan satu lagi jenama pengeluar motosikal dari negara China. Berada di bawah syarikat Loncin Motorcycle atau Loncin Industries, Voge kini telah melebarkan sayapnya ke pasaran Eropah seperti Itali dan Perancis.
Untuk pasaran Perancis, Voge menawarkan beberapa buah model motosikal yang menarik, salah satu daripadanya ialah sebuah model sportbike yang diberi nama Voge 300RR. Model tersebut mempunyai reka bentuk yang sporty dan menawan, serta memiliki enjin berkapasiti 292.4cc (Single cylinder, 4 stroke, Liquid-cooled, CDI).
Enjin dengan satu silinder itu kemudiannya dipadankan transmisi enam kelajuan, dengan keluaran kuasa maksimum 29hp @ 8,500rpm dan tork maksimum 25Nm @ 7,000rpm. Enjin tersebut dihidupkan melalui penggunaan penghidup elektrik, manakala tangki bahan api untuk Voge 300RR didatangkan dengan kapasiti penuh 16 liter.
Di bahagian dimensi, Voge 300RR mempunyai ukuran jarak roda sepanjang 1,340 mm, jarak kelegaan tanah 165 mm, ketinggian tempat duduk pada paras 780 mm, dan berat kering 153 kilogram. Dilengkapi rim aloi berukuran 17 inci dan tayar tanpa tiub, tayar depan dan belakangnya masing-masing hadir dalam siri 110/70-17 dan 150/60-17.
Menurut pengeluarnya, Voge 300RR mempunyai kelajuan maksimum 135 km/j. Untuk pemberhentian yang lebih selamat dan cekap, model tersebut dibekalkan sistem brek cakera di bahagian roda depan dan belakang, bersama-sama sistem brek ABS. Pengendalian yang terkawal sewaktu tunggangan ditugaskan kepada fork depan jenis terbalik, manakala suspensi monoshock bergandingan dengan lengan ayun banana.
Voge 300RR 2020 turut menawarkan sistem lampu LED sepenuhnya, panel instrumen digital, peredam bunyi diperbuat daripada keluli tahan karat, dan warna putih sebagai pilihan warna tunggal. Untuk pasaran Perancis, Voge 300RR ditawarkan pada harga sebanyak 4,195 Euro, bersamaan RM 20,037.80 mengikut kadar tukaran semasa.