SYM Maxsym TL500 2020 dilancarkan di pasaran Malaysia, harga asas RM 35,888.00

Di pasaran Malaysia, Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd. merupakan pengedar rasmi untuk motosikal dan skuter berjenama SYM. Pada dua hari yang lepas, syarikat tersebut secara rasminya melancarkan skuter maxi terbaharu SYM Maxsym TL500, pada harga asas RM 35,888.00, tidak termasuk kos pendaftaran, insuran dan cukai jalan.

SYM Maxsym TL500 model tahun 2020 itu hadir dengan rekaan yang sporty dan gagah, ditawarkan dalam tiga pilihan warna yang menarik seperti Matt Blue, Matt Black dan Grey. Menurut Mforce, penghantaran untuk pengedar-pengedar bertauliah SYM Malaysia akan dilakukan bermula pada minggu pertama bulan Julai akan datang.

SYM Maxsym TL500 dilengkapi enjin bersesaran 465cc (twin-cylinder, liquid-cooled, 4-stroke, DOHC, 8-valve) dengan sistem E.F.I dan penghidup elektrik, seterusnya penyaluran kuasa ke permukaan jalan raya disempurnakan oleh transmisi automatik CVT. Transmisi tersebut bukanlah belt konvensional apabila ianya menggunakan rantai.

SYM Maxsym TL500 mempunyai ketinggian pelana 795 mm dan tangki minyak dengan kapasiti maksimum 12.5 liter. Untuk pengendalian yang tangkas dan keselesaan maksimum, sistem suspensi depan didatangkan fork jenis upside-down, manakala di bahagian belakang ialah suspensi multi-link monoshock di posisi sebelah kiri.

Untuk pemberhentian yang selamat, ianya ditugaskan kepada brek cakera berkembar 275 mm di bahagian depan dan brek cakera tunggal 275 mm di bahagian belakang, masing-masing dilengkapi dengan sistem ABS. Beralih ke bahagian roda, SYM Maxsym TL500 dibekalkan tayar depan dalam siri 120/70-R15 dan tayar belakang 160/60-R15.

Antara ciri-ciri menarik yang melengkapi skuter maxi yang bergaya ini antaranya termasuklah sistem lampu depan dan belakang LED, paparan instrumen TFT 4.5 inci dengan ciri kecerahan auto, skrin penghadang angin dengan ciri boleh laras pada dua posisi, port pengecas USB dan dua ruang kompatmen di bahagian depan, serta dua saluran paip ekzos berbentuk sarang lebah dengan keluaran bunyi yang padu.

Untuk ketenangan fikiran pemiliknya, SYM Maxsym TL500 didatangkan dengan jaminan selama tempoh dua tahun atau perbatuan 20,000 km, yang mana tiba dahulu.

(Visited 232 times, 1 visits today)