Sewaktu berlangsungnya pameran EICMA 2019 pada November lepas, Kawasaki telah mengumumkan enam model baharu untuk musim 2020. Sebagai tambahan, Kawasaki turut memperkenalkan motosikal elektrik yang masih lagi dalam bentuk konsep.
Pengenalan model konsep EV (Electric Vehicle) tersebut selari dengan penyelidikan yang telah dilakukan oleh Kawasaki sejak beberapa tahun sebelum ini. Menurut Kawasaki, model konsep tersebut mempunyai saiz kompak sama seperti model Ninja 650, menawarkan kuasa dan prestasi, dengan keupayaan penukaran gear.
Dengan berat 219 kg, ianya mempunyai pek bateri yang yang boleh dicas menggunakan sistem pengecas pantas CHAdeMo atau pengecas konvensional 100-240V melalui saluran domestik. Hasilnya ialah jarak tunggangan boleh dicapai kira-kira 100 km daripada jentera yang mempunyai klac dan kotak gear empat kelajuan ini.
Walaupun dijangka akan menarik minat ramai pemilik Kawasaki sedia ada, motosikal konsep EV ini telah dimaklumkan tidak akan termasuk dalam perancangan pemasaran syarikat dalam masa terdekat. Oleh itu buat masa ini, ianya kekal sebagai salah satu daripada projek penyelidikan yang sedang dijalankan oleh Kawasaki.