Honda NC750X 2020 tampil dengan pilihan dua warna baharu

Honda NC750X mula diperkenalkan pada tahun 2012, namun ketika itu ianya dikenali dengan nama Honda NC700X. Model ini boleh dikatakan unik kerana terdapat ruang storan di bahagian yang kebiasaannya ialah tangki minyak. Ruang storan 22 liter tersebut juga luas sehingga boleh memuatkan sebuah topi keledar bermuka penuh.

Bagi musim 2020, Honda NC750X memiliki empat pilihan warna iaitu Pearl Glare White (warna baharu), Graphite Black (warna baharu), Candy Chromosphere Red dan Glint Wave Blue Metallic. Para pelanggan juga boleh memilih di antara varian MT (6-speed Manual Transmission) atau DCT (6-speed Dual Clutch Transmission). Teknologi Honda Selectable Torque Control (HSTC) merupakan ciri standard untuk varian MT dan DCT.

NC750X dibekalkan enjin 745cc (Liquid-cooled 4-stroke 8-valve, SOHC parallel 2-cylinder) yang mematuhi piawaian EURO4. Janaan kuasa maksimumnya ialah 40.3kW @ 6,250rpm dengan tork 68Nm @ 4,750rpm. Kapasiti tangki bahan apinya mampu mengisi 14.1 liter petrol, manakala berat motosikal ialah 220kg (MT) dan 230kg (DCT).

Sistem brek NC750X ialah ABS dengan cakera tunggal 320mm di bahagian depan dan cakera tunggal 240mm di bahagian belakang. Ciri-ciri lain yang melengkapi NC750X termasuklah lampu depan dan belakang LED, paparan instrumen LCD dengan ciri personalisasi dan kunci ‘wave’ dengan sistem HISS (Honda Ignition Security System).