Suzuki GSX-R125 diperkenalkan secara rasmi pada penghujung tahun 2016 yang lalu. Menurut Suzuki, model sportbike tersebut menawarkan nisbah kuasa kepada berat, nisbah tork kepada berat dan pecutan yang terbaik, serta pengendalian yang lincah dengan tahap ekonomi bahan api cemerlang di dalam kelas 125cc.
Dengan kerangka dan casis yang moden serta rekaan badan yang anggun dan agresif, dibangunkan di dalam terowong angin, GSX-R125 memiliki prestasi aerodinamik yang hebat. Ianya juga memiliki tempat duduk serendah hanya 785mm, jarak roda kompak berukuran 1,300mm dan berat hanya 134 kg, paling ringan di dalam kelasnya.
Ciri-ciri menarik lain yang melengkapi GSX-R125 termasuklah lampu depan dan lampu posisi LED, paparan instrumen LCD pelbagai fungsi, sistem penghidup tanpa kunci (Key-Less Ignition System with Answer-Back Function), suis penghidup (Suzuki Easy Start System) dan sistem ekzos berprestasi tinggi (Dual-exit exhaust muffler).
Beralih ke bahagian enjin, Suzuki GSX-R125 model tahun 2020 ini dilengkapi enjin bersesaran 124cc (4-stroke, 1-cylinder, liquid-cooled, DOHC) yang menjana sehingga 15PS @ 10,000rpm dengan tork puncak 11.5Nm @ 8,000rpm. Enjin yang bertenaga itu kemudiannya dipadankan kotak gear enam kelajuan yang lancar.
Dengan gayanya yang bercirikan perlumbaan, GSX-R125 dilengkapi dengan sistem brek ABS dan cakera (Petal Brake Discs) di bahagian depan dan belakang, manakala rim aluminium tuangan yang sporty seterusnya dipasangkan tayar tanpa tiub 90/80-17M/C di bahagian depan dan 130/70-17M/C untuk bahagian belakang.
Untuk pasaran UK, Suzuki GSX-R125 2020 ditawarkan dalam tiga pilihan warna iaitu Metallic Triton Blue, Brilliant White dan Titan Black. Harga jualannya pula ditetapkan sebanyak £3,899, bersamaan RM 21,206.80 mengikut kadar tukaran semasa. Sayang sekali model ini atau abangnya iaitu GSX-R150 tidak dijual di pasaran Malaysia.