Yamaha MT-07 bersama-sama model Hyper Naked Yamaha yang lain telah menerima kemaskini warna baharu untuk tahun 2020. Menurut siaran akhbar yang diterbitkan oleh Yamaha Motor Europe dalam bulan November 2019, MT-07 kini didatangkan dalam tiga pilihan warna baharu yang dikemaskini iaitu Ice Fluo, Icon Blue dan Tech Black.
Dari segi teknikal, tidak ada sebarang perubahan. Yamaha MT-07 masih dikuasakan enjin berkapasiti 689cc (2-cylinder, 4-stroke, liquid-cooled, DOHC, 4-valves) dengan gandingan transmisi enam kelajuan. Kuasa yang dihasilkan mencapai 74.8PS @ 9,000rpm dengan tork maksimum 68.0Nm @ 6,500rpm. Berat basah motosikal naked ini ialah 182 kg, dengan tangki bahan apinya mempunyai isian penuh 14 liter.
Untuk pasaran UK, Yamaha MT-07 2020 boleh dimiliki pada harga bermula dari £6,695.00, bersamaan RM 36,132.84 mengikut kadar tukaran semasa. Yamaha MT-07 turut ditawarkan di pasaran Malaysia melalui model tahun 2019, pada harga asas RM 38,288.00 dan telah berada di pasaran tempatan sejak awal tahun lepas.