Yamaha MT-125 2020 diperkenalkan untuk pasaran Eropah

Yamaha MT-125 merupakan model terkecil dalam siri Yamaha MT, diperkenalkan untuk pasaran Eropah dalam pertengahan bulan Oktober 2019 yang lalu. Model tersebut kemudiannya telah berada di pasaran secara rasmi mulai penghujung Disember 2019.

Yamaha MT-125 model tahun 2020 hadir dengan rekaan yang moden dan agresif, terutamanya apabila melihat bahagian hadapannya yang tampil dengan lampu posisi berkembar dan lampu utama LED di bawahnya. Tampil kompak dan ringan, model tersebut mengekalkan cirinya sebagai sebuah model naked yang sporty dan lincah.

Enjin yang menjana MT-125 bersesaran 125cc dengan ciri VVA (Variable Valve Actuation), yang kemudiannya dipadankan transmisi enam kelajuan. Janaan kuasanya mencapai paras 15.0PS @ 9,000rpm dan tork puncak 11.5Nm @ 8,000rpm. Berat basah motosikal tersebut ialah 140 kg, dengan kapasiti tangki bahan api 10 liter.

Spesifikasi lain yang melengkapi MT-125 termasuklah fork depan 41mm jenis USD yang berkualiti premium, sistem Assist & Slipper Clutch, panel meter LCD negatif dengan paparan pelbagai info berguna, tayar belakang lebar dan sistem brek depan dengan radial mount caliper dan cakera 292mm untuk pemberhentian yang mantap.

Yamaha MT-125 2020 tersedia dalam pilihan tiga warna yang menarik seperti Ice Fluo, Icon Blue dan Midnight Black. Harga yang ditetapkan untuk pasaran UK bermula dari £4,524.00, bersamaan RM 24,107.44 mengikut kadar tukaran semasa.