Ducati Superleggera V4 rasmi diperkenalkan, terhad 500 unit

Ducati hari ini secara rasminya memperkenalkan model terbaharu yang ditunggu-tunggu, Ducati Superleggera V4. Hanya 500 unit sahaja akan dikeluarkan, dengan penghantaran akan bermula dari bulan Jun 2020. Menurut Ducati, Superleggera V4 ini merupakan model paling berkuasa dan paling canggih pernah mereka keluarkan.

Superleggera V4 merupakan model jalanan yang sah digunakan di jalan raya, serta satu-satunya model motosikal yang menggunakan komponen serat karbon untuk binaan casis melibatkan kerangka, subkerangka, lengan ayun dan rim roda. Ini membolehkannya mencapai pengurangan berat motosikal sehingga 6.7 kilogram.

Selain itu banyak lagi komponen-komponen lain yang turut diperbuat daripada material carbon fibre, termasuklah fairing dengan reka bentuk aerodinamik yang sepadan dan melebihi kecekapan jentera MotoGP. Corak grafik yang menghiasi fairing carbon fibre tersebut pula dikatakan diinspirasikan daripada jentera Desmosedici GP19.

Beralih kepada sistem penjana kuasa, Superleggera V4 dilengkapi enjin bersesaran 998cc yang menghamburkan kuasa maksimum sehingga 224hp @ 15,250rpm dengan tork maksimum 116Nm @ 11,750rpm. Dengan kit perlumbaan, ianya boleh mencapai sehingga angka 234hp @ 15,500rpm bersama-sama tork 119Nm @ 11,750rpm.

Seterusnya Ducati mengatakan melalui penggunaan ekstensif material carbon fibre, titatnium dan magnesium termasuklah komponen aluminium, Superleggera V4 mempunyai berat kering hanya 159 kg sahaja (16 kg kurang daripada berat Panigale V4), membolehkannya mencatatkan rekod baharu untuk nisbah kuasa kepada berat (power-to-weight ratio) 1.41 hp/kg bagi sebuah model berkuasa tinggi jalanan. 

Sesuai dengan perwatakannya yang juga mencapai taraf jentera perlumbaan, Superleggera V4 didatangkan dengan teknologi Riding Modes dengan tiga pilihan seperti Race A, Race B dan Sport, dan buat pertama kalinya terdapat lima ciri Riding Modes tambahan yang boleh ditala mengikut kehendak penunggangnya.

Penunggang juga boleh memantau masa sepusingan (lap times) melalui Lap Timer yang dinaiktaraf, yang mana ianya boleh merakam garisan penamat dan menunjukkan pecahan masa untuk lima litar kegemaran. Ini boleh dilakukan pada setiap permulaan program track day tanpa perlu melakukannya secara berulang kali. Tetapan sistem lalai itu memaparkan perincian garisan penamat dan pecahan masa untuk litar Laguna Seca, Mugello, Jeres, Sepang dan Losail.

Ciri-ciri standard lain yang melengkapi Superleggera V4 termasuklah sistem suspensi Öhlins yang ringan dan sistem brek terbaik daripada Brembo.

Untuk pelanggan yang membeli Superleggera V4, Ducati telah menyediakan pakej yang cukup menarik, antaranya termasuklah akses kepada program “SBK Experience” yang membolehkan pemilik untuk menunggang jentera Panigale V4 R yang digunakan untuk bersaing di dalam perlumbaan SBK World Championship, di litar ujian di Mugello.

Lebih mengujakan lagi ialah 30 pemilik Superleggera V4 akan mendapat peluang eksklusif untuk merasai pengalaman “MotoGP Experience”, buat pertama kalinya, apabila mereka boleh menunggang jentera Desmosedici GP20 yang digunakan oleh Dovizioso dan Petrucci, dengan sokongan penuh daripada juruteknik Ducati Corse.

Setakat ini harga jualan untuk Ducati Superleggera V4 2020 ini masih belum diumumkan, namun seperti jangkaan ianya pasti mencapai angka ratusan ribu. Untuk anda, saksikan gambar-gambar menarik model eksklusif ini dalam galeri di bawah.

(Visited 869 times, 1 visits today)