Pada tarikh 06hb. Januari 2020, Boon Siew Honda telah membuka lembaran tahun baru dengan pelancaran Honda RS150R model tahun 2020. Bagaimanapun pelancaran model RS150R ini agak mengecewakan, kerana apa yang diharap-harapkan oleh ramai peminat motosikal tempatan ialah pelancaran model yang sama seperti Honda Winner X yang sebelum ini dilancarkan di pasaran Vietnam pada bulan Julai 2019.
Bagaimanapun untuk model Honda RS150R 2020 ini, ianya tetap tampil dengan rekaan yang dipertingkatkan melalui penampilan yang lebih sporty dan ditambah dengan sentuhan premium. Menurut Boon Siew Honda, selaras dengan konsep baharu yang diperkenalkan itu, fender belakang kini telah direka semula bagi menampilkan lampu brek yang lebih runcing sekaligus mempertingkatkan visual keseluruhan.
Selain daripada rekaan yang menonjol, Honda RS150R ini turut mendapat kemasan moden bagi mempertingkatkan keselesaan penunggang, antaranya ialah panel meter digital LCD baharu untuk paparan berteknologi tinggi. Fungsi terbaru ini untuk memudahkan penunggang melihat dengan lebih jelas, terang dan lengkap setiap informasi di panel meter. Ciri ini menyampaikan lagi perwatakan RS150R yang lebih fokus kepada penunggang.
Honda RS150R model tahun 2020 ini turut didatangkan dengan rekaan grafik terbaharu lantas mengangkat rekaan sporty ke taraf yang lebih tinggi. Empat pilihan warna yang cukup menarik yang ditawarkan ialah Hitam, Biru, Edisi Repsol dan termasuklah warna Trico Honda. Kekal dijana enjin bersesaran 149.2cc dengan empat valve DOHC dan transmisi enam kelajuan yang berprestasi, ianya menghasilkan 11.5kW pada 9,000rpm dengan 13.6Nm tork pada 6,500rpm.
Berikut ialah senarai harga asas yang ditawarkan untuk Honda RS150R 2020, dan ianya belum termasuk kos pendaftaran, insuran dan cukai jalan :
- 2020 Honda RS150R Standard (Trico, Black, Blue) : RM 8,199.00
- 2020 Honda RS150R Edisi Repsol : RM 8,499.00
Honda RS150R 2020 baharu hadir bersama-sama jaminan kilang selama tempoh dua tahun atau 20,000 km jarak perjalanan (mana-mana tiba dahulu), bagi memastikan setiap pelanggan dapat menikmati tahap penyelenggaraan yang berkualiti tinggi dan juga ketenangan minda.