Berdasarkan maklumat daripada laporan terdahulu baru-baru ini, Modenas dikatakan sedang dalam perancangan untuk mengeluarkan model Modenas Kriss 110 edisi khas untuk pasaran tempatan. Ketika ini Modenas Kriss 110 MR3 ditawarkan di pasaran tempatan pada harga RM 3,457.00, dalam pilihan warna hitam, biru dan kuning.
Pada masa yang sama, Modenas juga menawarkan model Modenas Kriss MR2, juga dengan enjin 110cc. Namun untuk varian edisi khas ini, dijangkakan Modenas akan menggunakan model Kriss 110 MR3 sebagai asasnya. Jadi apakah perancangan Modenas untuk menjadikan model berkenaan sebagai sebuah model edisi khas?

Dijangkakan Modenas Kriss 110 MR3 edisi khas itu akan diberikan nama baharu seperti kebiasaannya, sama ada melalui penggunaan frasa Special Edition atau pun Limited Edition. Model tersebut juga pastinya akan tampil dengan skim warna dan grafik baharu yang lebih menarik dan sporty, dengan kemungkinan adanya logo Modenas 25 Tahun.
Seterusnya untuk menjadikan penampilannya lebih istimewa ialah sudah tentu melalui pemasangan sistem brek cakera di bahagian depan, sama seperti yang dimiliki oleh Kriss 110 MR2. Perubahan lain dari segi teknikal dirasakan tidak akan berlaku, kerana ianya pasti akan melibatkan kos pengeluaran yang lebih tinggi dan perlu dielakkan.
Bagaimanapun ini hanyalah ramalan awal sahaja, berdasarkan sumber maklumat yang sangat terhad. Mungkin Modenas mempunyai perancangan lain yang bakal menjadikan Kriss 110 MR3 lebih sporty dan menawan, tanpa peningkatan harga jualan yang terlalu ketara. Tarikh pelancaran untuk model berkenaan juga setakat ini belum diketahui.

