Modenas kini berusia 25 tahun, bakal melancarkan model moped baharu, Kriss edisi khas dan Modenas Ninja 250

Tahun ini, syarikat pengeluar motosikal nasional Modenas menyambut ulangtahun yang ke-25 sejarah penubuhannya (1995 – 2020). Model pertama keluaran Modenas ialah kapcai Kriss, dan kemudiannya diikuti oleh model cruiser Jaguh. Pelbagai kisah kejayaan, suka dan duka telah ditempuhi oleh Modenas sejak 25 tahun yang lalu.

Rakyat Malaysia sememangnya berbangga dengan penubuhan Modenas, yang sehingga kini menawarkan pelbagai model-model motosikal menarik pada harga mampu milik. Baru-baru ini menurut laporan daripada akhbar Harian Metro, Modenas sedang dalam perancangan untuk melancarkan beberapa buah model terbaharu.

Antaranya ialah model moped terbaharu yang dipertingkatkan pada hujung tahun ini. Berita ini pastinya menggembirakan peminat Modenas yang selama ini ternanti-nantikan kemunculan model moped baharu. Sebelum ini, Modenas dilaporkan pernah membangunkan moped 150cc, namun tidak pasti jika model itu yang dimaksudkan.

Lebih menarik lagi, Modenas juga dilaporkan sedang merancang pengeluaran model Kriss edisi khas, dan sebarang perkembangan akan diumumkan kemudian. Kriss merupakan model paling lama yang pernah ditawarkan oleh Modenas, dan setakat ini model semasa Kriss 110 MR3 telah terjual 26,000 unit sehingga bulan Jun 2020. Tambahan 7,000 unit lagi pesanan dikatakan masih dalam proses penghantaran.

Sementara itu model yang dinanti-nantikan sempena kemunculannya secara mengejut pada bulan Februari 2020 yang lalu, Modenas Ninja 250, akan dipasang di kilang Modenas di Gurun, Kedah, di samping model-model Kawasaki yang lain termasuklah model naked Z250. Namun tarikh pelancaran Modenas Ninja 250 belum diumumkan.

Diharapkan sempena sambutan ulangtahun kali ke-25 Modenas yang disambut pada tahun ini, Modenas akan terus mengorak langkah dengan memperkenalkan barisan model-model terbaharu yang dapat menarik perhatian dan minat ramai pembeli. Rakyat Malaysia pastinya akan terus menyokong produk tempatan keluaran Modenas.

Sumber rujukan : Harian Metro

(Visited 8,362 times, 1 visits today)