MV Agusta Dragster 800 Rosso model tahun 2020

MV Agusta merupakan salah sebuah jenama pengeluar motosikal ternama dari Eropah, dengan rangkaian model-model yang mempunyai reka bentuk sporty, elegan dan berprestasi tinggi. Dalam bulan November 2019 yang lepas, antara model baharu yang diperkenalkan oleh MV Agusta bagi musim 2020 ialah Dragster 800 Rosso.

Model tersebut diperkenalkan bersama-sama dua lagi model dalam siri Rosso, iaitu Turismo Veloce 800 Rosso dan Brutale 800 Rosso. Menurut MV Agusta, ketiga-tiga model tersebut ditawarkan pada harga yang lebih kompetetif berbanding model asal, hasil daripada rasionalisasi dalam proses pengeluaran dan kecekapan dalam fasa kejuruteraan. Ketiga-tiga model Rosso tersebut menonjol dengan warna merah terang.

Bagi model Dragster 800 Rosso, ianya dikuasakan enjin tiga silinder berkapasiti 798cc dengan gandingan transmisi enam kelajuan, yang menjana prestasi maksimum sehingga 110hp @ 11,500rpm dan tork setinggi 83Nm @ 7,600rpm. Dengan prestasi mewah seperti itu bersama-sama berat kering motosikal hanya 168 kg, Dragster 800 Rosso mampu mencatatkan kelajuan maksimum sehingga 237 km/j.

Antara teknologi yang melengkapi Dragster 800 Rosso termasuklah kawalan traksi lapan tahap, empat mod tunggangan (Sports, Race, Rain & Custom), sistem MV EAS 2.1 (Electronically Assisted Shift up & down), sistem suspensi depan jenis terbalik berjenama Marzocchi, lengan ayun tunggal sebelah kiri dengan penyerap hentak jenis tunggal, dan sistem brek berprestasi tinggi dari Brembo dengan ABS.

Di bahagian roda depan, Dragster 800 Rosso dilengkapi tayar dalam siri 120/70 – ZR 17 M/C (58 W), manakala bahagian belakangnya dilengkapi tayar dalam siri 200/55 – ZR 17 M/C (75 W). Tangki bahan apinya mampu mengisi petrol dengan kapasiti penuh 16.5 liter, dan tahap piawaian alam sekitar untuk Dragster 800 Rosso ialah Euro 4.

Seperti mana yang dikatakan oleh MV Agusta bahawa harga yang ditawarkan untuk Dragster 800 Rosso adalah kompetetif, ianya dijual pada harga bermula dari hanya 12,990 Euro (bersamaan RM 59,025.75 mengikut kadar semasa). Sebagai perbandingan, harga Dragster 800 RR bermula dari 18,490 Euro, Dragster 800 RR SCS bermula dari 19,490 Euro dan Dragster 800 RC bermula dari 21,490 Euro.