Dalam bulan November 2019 yang lepas, MV Agusta memperkenalkan rangkaian model Rosso yang melibatkan tiga model iaitu Brutale 800, Dragster 800 dan Turismo Veloce 800. Menurut MV Agusta, antara kelebihan rangkaian model Rosso ialah harganya yang kompetetif namun kekal menawarkan teknologi yang komprehensif.
Bagi model Turismo Veloce 800 Rosso model tahun 2020 ini, ianya tampil dalam pilihan warna tunggal yang diberi nama Ago Red / Metallic Carbon Black. Aspek spesifikasi teknikal memperlihatkan ianya dikuasakan enjin tiga silinder 798cc yang menjana prestasi maksimum 110hp @ 10,150rpm dengan tork 80Nm @ 7,100rpm. Enjin tersebut kemudiannya dipadankan dengan transmisi enam kelajuan.
MV Agusta Turismo Veloce 800 Rosso turut dilengkapi sistem MV EAS 2.1 (Electronically Assisted Shift Up & Down), kawalan traksi (traction control) dengan lapan tahap, empat mod tunggangan iaitu Sports, Race, Rain dan Custom dan sistem brek Brembo dengan ABS. Kapasiti maksimum tangki bahan apinya ialah 21.5 liter, manakala berat kering motosikal mencapai 191 kilogram. Kelajuan maksimum motosikal dalam segmen touring (kembara) ini dikatakan mencapai 230 km/j.
Berkenaan harga, MV Agusta Turismo Veloce 800 Rosso 2020 ini boleh dimiliki pada harga bermula dari 13,990 Euro, bersamaan RM 62,777.44. Melihat kepada maklumat di dalam laman sesawang MV Agusta, model Turismo Veloce 800 yang lain ditawarkan pada harga bermula dari 18,990 Euro, 20,990 Euro dan 24,190 Euro.