MV Agusta Brutale 800 Rosso model tahun 2020

Rangkaian model Rosso bagi tahun 2020 daripada MV Agusta terdiri daripada tiga model kesemuanya iaitu Turismo Veloce 800 Rosso, Brutale 800 Rosso dan Dragster 800 Rosso. Ketiga-tiga model berkenaan kekal menawarkan spesifikasi dan teknologi yang komprehensif namun pada harga yang lebih rendah berbanding model asal.

MV Agusta Brutale 800 Rosso misalnya ditawarkan pada harga bermula dari 11,990 Euro, bersamaan RM 54,255.99 mengikut kadar semasa. Sebagai perbandingan, harga untuk model Brutale 800 RR bermula dari 15,990 Euro (RM 72,356.41) dan harga untuk Brutale 800 RR SCS bermula dari 16,990 Euro (RM 76,881.51).

Pilihan warna untuk Brutale 800 Rosso juga adalah sama seperti yang diterima oleh Turismo Veloce 800 Rosso dan Dragster 800 Rosso, iaitu Ago Red / Metallic Carbon Black. Brutale 800 Rosso dijana enjin berkapasiti 798cc (three cylinder, 4 stroke, 12 valve) yang menghamburkan kuasa maksimum 110hp @ 11,500rpm dengan tork 83Nm @ 7,600rpm. Enjin tersebut kemudiannya dipadankan kotak gear enam kelajuan.

Suspensi depannya terdiri daripada fork hidraulik teleskopik jenis terbalik (upside down) berjenama Marzocchi, manakala di bahagian belakangnya ialah lengan ayun sisi tunggal (single sided swing arm) dengan gandingan penyerap hentak tunggal. Sistem brek Brembo dengan ABS melengkapkan ciri keselamatan model berprestasi ini.

Walaupun hadir sebagai model kelas permulaan (entry level), Brutale 800 Rosso tetap dilengkapi sistem elektronik seperti kawalan traksi (traction control) lapan tahap dan empat mod tunggangan seperti Sport, Rain, Race dan Custom. Selain itu ianya juga dilengkapi teknologi MV EAS 2.1 (Electronically Assisted Shift up & down).

Brutale 800 Rosso model tahun 2020 mempunyai ketinggian tempat duduk pada paras 830 mm, didatangkan tangki bahan api dengan isian maksimum 16.5 liter dan berat kering motosikal ialah 175 kg. Kelajuan maksimum yang direkodkan oleh Brutale 800 Rosso ini mencecah 237 km/j, suatu angka yang sememangnya sudah memadai.