JPJ umum tawaran Nombor Pendaftaran Istimewa siri ‘H’

Abjad ‘H’ dipilih sebagai Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) yang akan dibuka untuk bidaan orang ramai selama lima hari bermula 16 September 2026.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyatakan abjad ‘H’ ini adalah huruf terakhir untuk siri nombor pendaftaran kenderaan satu abjad (single prefix) yang akan dikeluarkan mereka.

H?….Bukan ke itu nombor plet teksi?

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata:

“Kita menawarkan siri ‘H’ ini untuk dibida oleh seluruh rakyat Malaysia dengan bidaan akan dibuka pada 16 September ini dan berakhir pada 20 September.

“Siri H ini sinonim dengan harmoni… keharmonian negara kita sempena sambutan Hari Malaysia. Kita menawarkan satu single huruf yang terakhir di dalam Malaysia yang akan ditawarkan oleh JPJ dan Kerajaan Malaysia.

“Sebab selepas ini tidak ada lagi huruf single. Ini adalah satu siri nombor pendaftaran istimewa.. saya rasakan ia amat istimewa dan patut diambil peluang oleh rakyat Malaysia untuk membida dan mendapatkan nombor siri ini.

“Kalau ikutkan, apabila kita berbincang bersama dengan Kementerian Pengangkutan, siri ‘H’ orang mungkin lihat seperti nombor pendaftaran teksi.

“Untuk siri-siri teksi, ia perlu dipadankan bersama huruf negeri. Contohnya, HA itu adalah teksi didaftarkan di negeri Perak. HB ialah didaftarkan di negeri Selangor.

“Tetapi tidak ada mana-mana siri yang menawarkan single H dan kita berpendapat bahawa single H ini bukan adalah milik mana-mana pihak. Ini adalah milik Kerajaan Malaysia di mana kita keluarkan untuk rakyat Malaysia.”

Bida NPI siri H di mana?

Siri NPI yang akan dibuka untuk bidaan menerusi Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian (JPJeBid). Keputusan akan diketahui pada 21 September 2026.

  • Tarikh buka bidaan: 16 September 2026 (Rabu)
  • Tarikh tutup bidaan: 20 September 2026 (Ahad) hingga jam 10.00 malam
  • Tarikh keputusan : 21 September 2026 (Isnin) dalam tempoh 24 jam

Berapa harga untuk bidaan?

Abjad H membawa maksud Harmoni.

Harga bidaan dalam JPJeBid adalah mengikut harga yang telah ditetapkan seperti berikut:

  • Nombor Bernilai Utama (Golden): RM20,000
  • Nombor Premium : RM5,000
  • Nombor Menarik (Attractive): RM2,500
  • Nombor Popular: RM500
  • Nombor Biasa (Running)  RM300

Pun begitu, kaedah penawaran secara bidaan ini adalah tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan melalui Sistem JPJeBid.