
Boon Siew Honda (BSH) mengumumkan pembukaan Ibu Pejabat Jualan terbaharu mereka di Kota Damansara, Selangor.
Premis bangunan tiga tingkat dengan keluasan 7,000 kaki persegi itu adalah langkah pertama diambil BSH untuk mendirikan pangkalan komersial pertama mereka berhampiran ibu negara.

3 Unit Bawah Sebumbung
Ibu Pejabat Jualan BSH ini mengumpulkan tiga aspek utama di bawah satu bumbung iaitu jualan, pemasaran dan servis serta alat ganti mendekati rangkaian pengedar di Lembah Klang.
Pusat terbaharu itu akan menempatkan pasukan Perancangan Jualan BSH yang akan memberi tumpuan untuk segmen komuter harian (skuter dan motosikal kapasiti kecil) dan motosikal berkuasa tinggi mereka.
Latihan Teknikal Pengedar
Jabatan Pemasaran dan Jabatan Servis dan Komponen Alat Ganti juga terlibat dalam operasi premis tersebut. Ini termasuk kemudahan dua bilik latihan dan pusat teknikal lengkap untuk memberi latihan kepada wakil pengedar sama meliputi hal teknikal dan bukan teknikal.
Atasi Halangan Lama
Tindakan menempatkan tiga unit ini di bawah satu bumbung adalah sebenarnya satu susunan sturktur baharu BSH.
Sebelum ini, mereka berdepan cabaran koordinasi dengan kedudukan berbeza bahagian kepimpinan jualan, komunikasi dan alat ganti.
Ibu Pejabat Jualan ini disediakan untuk membantu keperluan operasi BSH termasuk portfolio produk dan membantu mengembangkan rangkaian pengedar.
Pusat ini juga akan menjadi ruang kerja, bilik mesyuarat dan ruang kolaborasi untuk kumpulan yang terlibat dalam urusan harian, perancang kempen dan hubungan media sehingga pembangunan pengedar dan sokongan khidmat selepas jualan.
Premis terbaharu ini juga adalah poin sokongan jaminan alat ganti untuk rangkaian pengedar sah Honda. Semua perincian operasi akan dikongsi secara terus kepada pihak pengedar.
Ibu Pejabat BSH utama masih kekal di Pulau Pinang.
Apa Kata CEO BSH
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BSH, Kunitomo Asano berkata:
“Keluasan 7,000 kaki persegi dan bangunan tiga tingkat mungkin kedengaran macam satu pengumuman hartanah.
“Namun, apa yang diwakili bangunan ini sebenarnya adalah satu keputusan untuk menempatkan barisan kepimpinan Jualan, Pemasaran dan Khidmat Selepas Jualan kami di satu tempat, beroperasi dari alamat sama, dengan satu pandangan pasaran yang dikongsi bersama.
“Bagi sebuah syarikat yang beribu pejabat di Pulau Pinang, pembukaan pangkalan komersial khusus di KL adalah satu kenyataan menunjukkan tahap seriusnya kami.
“Tiga pasukan di dalam bangunan ini saling berkomunikasi setiap hari. Kini, mereka boleh melakukannya di koridor yang sama berbanding melalui panggilan telefon.
Ini bukan satu perkara kecil apabila rentak kerja kami menuntut kepantasan sedemikian.”
