Triumph Trident 660 (2026) dengan ciri dipertingkat masuk Malaysia, harga badan dari RM47,900

Triumph Motorcycle Malaysia mengumumkan kedatangan model Trident 660 versi dipertingkat untuk tahun 2026 ke pasaran tempatan.

Harga badan bermula dari RM47,900 seunit, belum kira insurans, cukai jalan dan pendaftaran. Tempahan sudah dibuka untuk mereka yang berminat.

Triumph Trident 660 ini didatangkan dengan tiga warna pilihan. Dua daripadanya dilabel sebagai pilihan cat premium iaitu Cosmic Yellow dan Stone Grey. Satu lagi warna dikategorikan sebagai standard ialah Snowdonia White.

Apa yang berubah?

Untuk model tahun 2025-2026 (model year – MY), Trident 660 mendapat beberapa penambahbaikan ciri elektronik berbanding MY2024.

Ini membabitkan Sistem Brek Anti-Kunci Belokan atau dalam istilah Triumph OCABS (Optimized Cornering Anti-lock Braking System).

Model baharu juga dilengkapi ciri Quickshifter (dipanggil Triumph Shift Assist) dua hala iaitu atas dan bawah.

Selain itu, model 2025-2026 menerima mod pemetaan Sport iaitu tambahan kepada dua mod asal iaitu Rain dan Road.

Perubahan seterusnya ialah sistem suspensi jenama Showa. Fork depan jenis terbalik (USD) Showa 41mm SFF-BP (separate function big piston) dengan jarak gerak 120mm.

Suspensi RSU belakang kini boleh ditala prabeban dan lantunan. Jarak gear 130mm.

Perincian Triumph Trident 660 (2026)

  • Enjin 3-silinder sebaris 660cc DOHC 12-injap dengan sistem sejukan cecair dan suntikan bahan api.
  • Output kuasa 95PS (94hp) @ 11,250rpm. Tork puncak 68Nm @ 8,250rpm.
  • Tiga mod tunggangan iaitu Rain, Road dan Sport.
  • Kotak gear manual 6-kelajuan dengan ciri klas slip & assist
  • Rim aloi 17 inci dengan tayar 120/70 (depan) dan 180/55 (belakang)
  • Brek depan cakera berkembar 310mm kaliper 2 piston. Ada OCABS.
  • Brek belakang cakera tunggal 255mm dengan kaliper 1 piston. Ada OCABS.
  • Dimensi panjang 2,024mm, lebar 815 mm dan tinggi 1,088mm (tanpa cermin sisi).
  • Tinggi tempat duduk 810mm. Jarak roda 1,402mm. Berat 195kg.
  • Tangki minyak 14 liter.