Keeway BX200i ialah satu lagi skuter jenama Keeway yang akan memasuki pasaran Malaysia dalam tempoh sebulan dua ini dengan dua varian pilihan iaitu Standard dan Special Edition.
Model Keeway BX200i Standard didatangkan dengan tiga warna untuk dipilih iaitu merah, hitam dan biru. Harga badannya ialah RM7,988 seunit tidak termasuk insurans, cukai jalan dan pendaftaran.
Varian Keeway BX200i Special Edition diumumkan dengan satu warna pilihan iaitu hijau dan harga badannya ialah RM8,288. Varian ini sudah dilengkapi kotak simpanan barang selain rona badan yang lebih menarik. BX200i ialah skuter moden ketiga dalam portfolio Keeway selepas model Keeway XDV 180 EVO dan Sixties 250. Pengesahan mengenai tawaran model ini dibuat pihak MForce Bike Holdings di Hotel Sheraton di Taizhou, wilayah Zhejiang di China bersempena dengan dengan Majlis Sambutan MForce Top 68 Dealer’s Award baru-baru ini.













