Brixton G400T guna enjin QJMOTOR? Ini apa kami tahu…..

Brixton G400T

Ini satu lagi model skuter yang menarik perhatian kami di Mforce MotoXperience 2026.

Badan berwarna merah, tiada apa-apa logo pada badan, nampak macam ‘dia’ tapi bukan, enjin tertera QJMOTOR tapi mengapa ada di ruang pameran Brixton?

Sumber kami menjelaskan, nama model ini ialah Brixton G400T dan memang bukan produk keluaran QJMOTOR. Tapi, skuter G400T ini menggunakan enjin keluaran QJMOTOR.

Khabarnya, skuter ini adalah produk buatan anak syarikat Geely Group iaitu Zhejiang Geely Ming Industrial Co.,Ltd.

Syarikat subsidiari ini sudah wujud sebelum Geely Group menjadi pemegang saham terbesar QJMOTOR pada September 2016. Anda nampak kaitannya?

Apa yang kami ketahui, skuter ini boleh dipasang enjin sekecil 250cc sehingga 400cc dari pihak pengeluar asal di China.

Ada apa dengan Brixton G400T?

Skuter ini dikategorikan sebagai future products Mforce Bike Holdings (Mforce) dan ada potensi masuk pasaran pada masa akan datang. Bila? Itu kena tunggu pengumuman Mforce.

Skuter ini menggunakan pelana tunggal dengan perehat belakang untuk penunggang.

Ada kamera dashcam di hadapan.

Penghadang angin (windshield) dipercayai boleh laras dengan menekan butang.

Lampu LED depan dan belakang. Ada lampu DRL. Lampu signal belum dipastikan sama ada jenis mentol atau LED.

Brek cakera berkembar dengan kaliper 4-piston. Brek belakang cakera tunggal kaliper satu piston.

Menggunakan sistem kemasukan tanpa kunci (keyless).

Meter jenis digital. Tidak dapat dipastikan paparan LCD atau TFT.

Fork USD di hadapan, set absober dengan sub-tangi untuk imbangan belakang.

Spesifikasi Brixton G400T

  • Enjin satu silinder 394cc 4-injap dengan sistem sejukan cecair dan suntikan bahan api
  • Kuasa maksimum 29kW @ 7,500rpm
  • Tork maksimum 40Nm @ 5,500rpm
  • Transmisi automatik, sistem pacuan jenis tali sawat
  • Rim jejari 14 inci tayar depan 120/70, tayar belakang 140/70. Tayar jenis tanpa tiub
  • Panjang 2,100mm, lebar 790mm, tinggi 1,470mm
  • Jarak roda 1,490mm dan jarak bumi 110mm
  • Berat kasar 197kg
  • Tangki minyak 13 liter