MForce bangunkan model ‘skuchai’ guna enjin kapcai 200cc, transmisi CVT, badan skuter adventure

Ada satu lagi kejutan bakal dibawa MForce Bike Holdings (MForce) ke pasaran kita. Satu model yang bakal menjadi perbualan dalam industri motosikal tempatan.

Model itu digelar ‘skuchai’…. daripada gelaran itu, mungkin anda boleh dapat bayangan awal iaitu sebuah mobiliti unik hasil kacukan skuter dan kapcai.

Model ini dikatakan sebagai satu konsep inovatif yang menyatukan tiga elemen dalam satu platform produk iaitu reka bentuk skuter, enjin kapcai 200cc dan transmisi CVT.

Model ‘skuchai’ ini dikatakan bakal membuka satu segmen baharu dalam landskap motosikal tempatan dan juga luar negara.

APA YANG MENARIK TENTANG ‘SKUCHAI’?

‘Skuchai’ ini bukannya satu lagi model konvensional dua roda tetapi ada beberapa karakter yang membuatkannya unik. Ini apa yang MForce kongsikan:

Pertama ialah gabungan aspek ergonomik dan keselesaan seakan sebuah skuter dengan daya ketahanan serta struktur ringan seperti kapcai.

Kedua, penggunaan sistem CVT menjadikan model ini lebih praktikal untuk kegunaan di kawasan bandar dan tunggangan harian. Tidak perlu tukar gear secara manual.

Ketiga, gabungan dua poin di atas menjadikan model ini sesuai untuk perjalanan jarak sederhana dan juga tunggangan santai berkonsepkan adventure ringan.

Ketua Pegawai Operasi MForce, Asri Ahmad berkata:

“Pendekatan ini bukan sahaja memberi pengalaman tunggangan yang lancar dan responsif, malah menawarkan identiti baharu dalam dunia motosikal kompak.”

SIAPA SEBALIK PEMBANGUNAN PROJEK ‘SKUCHAI’?

Projek ‘skuchai’ ini sebenarnya adalah tugasan pertama syarikat MForce China semenjak entiti itu ditubuhkan pada tahun 2025.

Bukan satu pihak punya kerja tetapi hasil kolaborasi bersama dalam pembangunan model tersebut.  Ini termasuk kerjasama strategik bersama syarikat rakan teknologi MForce di China.

Asri berkata:

“Penglibatan ini menandakan langkah awal penting dalam memperkukuh rangkaian pembangunan global kumpulan MForce, khususnya dalam aspek kejuruteraan platform dan integrasi teknologi.

“Dalam masa yang sama, jurutera tempatan Malaysia memainkan peranan penting dalam melahirkan idea konsep awal, menghasilkan lakaran reka bentuk serta membangunkan model tanah liat (clay model) sebelum memasuki fasa pengeluaran.

“Gabungan kepakaran antarabangsa dan kreativiti tempatan ini memastikan model yang dihasilkan bukan sahaja berdaya saing dari sudut teknologi, malah menepati citarasa pengguna tempatan dan serantau.”

BERAPA BANYAK KOS PELABURAN ‘SKUCHAI’?

Bagi merealisasikan pembangunan model ini, MForce melaburkan sebanyak RM10 juta untuk:

  • Proses penyelidikan dan pembangunan (R&D)
  • Kejuruteraan reka bentuk
  • Ujian ketahanan
  • Pembangunan prototaip serta penyesuaian teknikal (penuhi keperluan pasaran Malaysia dan antarabangsa)

Pelaburan yang dibuat ini mencerminkan komitmen MForce dalam memperkenalkan inovasi berbeza daripada kebiasaan pasaran sedia ada.

APA KATA ORANG KUAT MFORCE?

Asri menambah, visi MForce adalah untuk mencabar norma industri dengan memperkenalkan sesuatu yang benar-benar baharu di peringkat global.

Beliau menjelaskan dengan menggabungkan reka bentuk skuter, enjin berasaskan kapcai dan sistem CVT dalam satu platform, pihaknya berjaya menghasilkan satu konsep unik yang belum pernah diketengahkan sebelum ini.

Katanya lagi, model ini bukan sekadar produk baharu tetapi mencipta kategori baharu dalam industri motosikal.

SUDAH ADA MODEL PROTOTAIP?

Jawapannya…. Ada!

Asri mendedahkan model prototaip ‘skuchai’ sudah siap sepenuhnya dan kini ada dalam fasa penghasilan unit prapengeluaran.

Unit prapengeluaran ini adalah untuk melakukan ujian ketahanan dan penilaian prestasi secara menyeluruh.

Ujian itu merangkumi simulasi penggunaan harian dan ujian jarak jauh untuk memastikan tahap kualiti, keselamatan dan ketahanan berada pada standard terbaik sebelum diperkenalkan ke pasaran.

‘SKUCHAI DEBUT DI MANA?

Percaya atau tidak…. anda mungkin antara kumpulan orang terawal melihat ‘skuchai’ ini di Malaysia tidak lama lagi.

Asri mengesahkan model ‘suchai” ini akan dipamerkan kepada umum buat julung kali di Malaysia Bike Show 2026 pada Mei ini.

Beliau berkata:

“Pameran ini akan jadi platform rasmi untuk memperkenalkan model konsep pertama di dunia ini kepada peminat motosikal, pemain industri serta media tempatan dan antarabangsa.

“Pelancaran rasmi model ini dijangka dilaksanakan pada suku tahun pertama 2027, tertakluk kepada kelancaran fasa ujian ketahanan dan persediaan pengeluaran akhir.”

Maklumat lanjut mengenai spesifikasi penuh serta harga rasmi akan diumumkan menjelang tarikh pelancaran ‘skuchai’ nanti.

ARTIKEL BERKAITAN