Enjin 450cc CFMOTO bantu gerakan prototaip sportbike KTM RC 490?

KTM pernah ada rancangan untuk bangunkan siri motosikal 490 dalam lima segmen iaitu naked (Duke 490, sport (RC 490), adventure (490 Adventure), supermotard (490 SMC R) dan supermoto touring (490 SM T).

Malah 5 ‘beradik’ siri 490 ini pernah diselit dalam satu dokumen pembentangan tahun 2019 yang kini sudah dipadamkan. Gambar di bawah ini menunjukkan lima model siri 490 dalam rancangan asal KTM.

Pada masa itu, KTM dikatakan mahu menunaikan impian siri KTM 490 dengan bantuan rakan mereka di India, siapa lagi kalau bukannya Bajaj yang terlibat dalam pembuatan siri 125 hingga 390.

Namun, projek yang sepatutnya membuahkan hasil pada tahun 2022 tidak kesampaian. Tahun 2023, rancangan itu akhirnya dibatalkan dengan alasan membabitkan isu kos.

Dalam tempoh seminggu ini, berita tentang penemuan prototaip sportbike ‘KTM RC 490’ semakin rancak diperkatakan di sana sini.

Kita tahu, segmen 400cc hingga 500cc semakin popular dua-tiga tahun kebelakangan ini, antaranya cerita tentang BMW F 450 GS, CFMOTO 450MT, Moto Morini 450 Alltrhike, Kawasaki Ninja 500, Aprilia RS 457 dan QJMOTOR SRT 450 X.

Pada masa sama, ramai tahu Bajaj baru menarik KTM keluar dari lembah muflis. Persoalan sekarang, macam mana KTM boleh siapkan model prototaip baru dalam masa singkat selepas diselamatkan dari krisis kewangan?

Kalau baca laporan Cycleworld, motosikal prototaip ‘KTM RC 490’ itu menggunakan komponen dan enjin dari pihak CFMOTO. Adakah ini projek motosikal kacukan KTM-CFMOTO?

Selain Bajaj, CFMOTO juga adalah rakan bisnes KTM. Mereka ada perjanjian usahasama dan pengeluar di China itu terlibat dalam pembuatan enjin KTM serta pengeluaran motosikal.

Andaian kini ialah KTM menggunakan enjin dwi-silinder sebaris CFMOTO yang sama macam modelĀ 450SR, 450NK dan 450MT.

Ada komponen lain yang nampak macam sama dengan CFMOTO iaitu swing arm tunggal (single sided swingarm) 450SR-R, pemijak kaki, tuil gear, bentuk frem dan tongkat sisi.

Bukan bermaksud semua komponen ambil dari CFMOTO. Prototaip dengan rekaan tipikal KTM ini masih menggunakan sistem suspensi WP (anak syarikat KTM).

Ini tidak bermaksud KTM lupakan Bajaj. Dua pihak ini bergerak aktif di India dan produk baru mereka dilancarkan ialah KTM Duke 160.

Satu perkara kita kena akui. Tak semua model prototaip dari KTM akan berakhir di barisan kilang pengeluaran motosikal. Persoalan sekarang, adakah KTM RC 490 kacukan CFMOTO ini bakal jadi realiti?

Kredit gambar: Bernhard M. Hohne/BMH-Images