SYM ADX400 jauh lebih canggih sebagai ADV berbanding Zontes 368G?

SYM ADX400 (atau nama penuhnya SYM ADXTL400) sudah dilancarkan di China pada Jumaat lepas dan skuter adventure ini akan diperkenalkan di Malaysia tidak lama lagi, mungkin bulan depan?

Kami ada terdengar sudah ada pengedar mula ambil tempahan awal untuk skuter SYM ADX400: Pelanggan tak perlu tunggu lama (waiting list) untuk dapat skuter ini lebih awal apabila dilancarkan nanti.

SYM atau Sanyang Moto ialah pengeluar roda dua di Taiwan yang terkenal dengan tawaran enjin berkualiti tinggi di peringkat global. Ada beberapa ciri pada skuter Sabertooth ini menjadikannya lebih menarik berbanding Zontes 368G.

SYM memang terkenal dengan enjin kualiti dan diyakini di persada antarabangsa. Kami tak begitu pasti tentang kehebatan enjin Zontes tapi….apa kami tau, Zontes membuat enjin sendiri untuk skuter 368G.

Jom kita tengok apa yang hebat sangat tentang skuter SYM ADX400.

1. Reka bentuk skuter ini diilhamkan dari haiwan pemburu prasejarah iaitu sejenis kucing besar Sabertooth. Reka bentuk ADX400 menunjukkan skuter ini nampak agresif dan lincah. Kalau Zontes 368G, rekaannya diinspirasi dari watak anime Gundam.

2. Kapasiti enjin SYM ADX400 lebih besar berbanding Zontes 368 dan dicipta untuk memastikan keperluan kuasa dan tork tidak menghampakan penunggang sama ada di bandar atau mencuba off-road ringan berbanding kebanyakan skuter ADV jadian.

3. Enjin SYM ADX400 diikat pada casis skuter untuk rasa menunggang yang jauh lebih baik. Cara ini meningkatkan ketegaran casis SYM ADX400 dan meningkatkan pusat atau titik graviti skuter ini.

Satu manfaat konsep macam ini ialah ia meningkatkan lagi kesimbangan dan kestabilan skuter adventure ini serta sesuai berdepan keadaan jalan mencabar.

4. Sistem absober belakang multi-link SYM ADX400 adalah yang terbaik dalam kelas 300cc hingga 400cc skuter. Absober multi-link seperti ini mengurangkan impak pada casis skuter semasa menyerap hentakan. Manfaatnya ialah skuter ini lebih stabil semasa menunggang.

5. Brek cakera lebih besar dan ditambah teknologi kawalan pembrekan ABS Bosch 10.3 dan ada bonus Kawalan Cengkaman (Traction Control). Dua teknolgi ini membantu kestabilan semasa membrek dan mengelakkan penunggang berdepan risiko lebih mudah tergelincir.

6. Konsep One Touch. Satu ciri kekunci dan butang kawalan yang lebih kemas ada pada SYM ADX400. Ini melibatkan butang untuk menghidupkan skuter, butang buka tempat duduk dan buka tempat isi minyak di satu gugusan.

7. Kunci pintar SYM ADX400 juga boleh digunakan untuk mencari kedudukan skuter (macam kebanyakan model lain) tapi kunci ini juga boleh ditekan untuk buka tempat duduk. Ada juga sistem peringatan (alarm) untuk maklumkan bateri remote dalam keadaan lemah.