Honda Future 125 FI 2024 diperkenalkan di pasaran Vietnam

Pada dua hari yang lepas, Honda di pasaran Vietnam dengan rasminya memperkenalkan model kapcai Honda Future 125 FI 2024. Model tersebut ditawarkan dalam tiga versi iaitu Standard, Premium dan Special Edition, dan ianya merupakan susulan daripada model tahun 2022.

Setakat ini tiada sebarang perubahan baharu di bahagian reka bentuk dan spesifikasi. Apa yang berubah hanyalah skim warna sahaja. Tidak pasti kenapa pasaran Vietnam masih belum menerima versi serba baharu seperti mana model Honda Wave 125i 2023 di pasaran Thailand.

Bagi versi Standard, ianya ditawarkan dengan satu pilihan warna sahaja. Versi Premium pula tampil dengan dua pilihan warna, dan tiga pilihan warna untuk versi Special Edition. Di bawah berikut ialah senarai harga jualan untuk Honda Future 125 FI 2024 di pasaran Vietnam :

  • Standard : 30,524,727 VND (RM 5,827.00)
  • Premium : 31,702,909 VND (RM 6,051.91)
  • Special Edition : 32,193,818 VND (RM 6,145.62)

Honda Future 125 FI 2024 dilengkapi enjin bersesaran 124.9cc (1-cylinder, 4-stroke, air-cooled, PGM-FI) dengan padanan sistem transmisi empat kelajuan. Enjin yang cekap dan ekonomi itu menjana kuasa maksimum 9.15hp @ 7,500rpm dengan tork puncak 10.2Nm  @ 5,500rpm.

Selain itu ianya turut dilengkapi tangki bahan api 4.6 liter, fork depan jenis teleskopik, suspensi belakang berkembar, sistem brek depan jenis dram dan rim lidi untuk versi Standard, sistem brek depan cakera dan rim aloi untuk versi Premium dan Special Edition, sistem kunci 4 dalam 1 pelbagai fungsi, dan lampu depan LED yang akan sentiasa menyala apabila enjin dihidupkan.

Honda Future 125 FI 2024 masih mengekalkan satu-satunya ciri unik dan eksklusif yang ada padanya, iaitu ruang storan di bawah tempat duduk yang boleh memuatkan sebuah topi keledar bermuka penuh. Cuma kekurangannya pada ketika ini ialah ketiadaan port pengecas USB.

Di bahagian roda, ianya menggunakan tayar bersaiz 70/90-17 di bahagian depan dan 80/90-17 di bahagian belakang. Tinggi tempat duduknya 756 mm. Sementara itu di pasaran Malaysia, model yang sama iaitu Honda Wave 125i 2021 masih lagi ditawarkan oleh Boon Siew Honda.