Kawasaki W800 2024 adakah akan kembali ke pasaran Malaysia?

Di pasaran Eropah pada ketika ini, model bergaya retro Kawasaki W800 2024 ditawarkan dengan warna satu pilihan warna menarik iaitu Metallic Diablo Black / Ebony.

Untuk pasaran Indonesia pula, Kawasaki W800 2024 turut ditawarkan dengan satu pilihan warna sahaja iaitu Metallic Diablo Black. Harga jualannya ditetapkan sebanyak Rp. 307,000,000.00, bersamaan nilai RM 91,941.00 mengikut kadar tukaran mata wang semasa.

Kawasaki W800 2024 dikuasakan enjin bersesaran 773cc (Air-cooled, 4-stroke Vertical Twin, SOHC, 8 valves) dan dipadankan dengan transmisi lima kelajuan dan Assist & Slipper Clutch. Kuasa maksimumnya 52PS @ 6,500rpm dengan tork puncak 62.9Nm @ 4,800rpm.

Spesifikasi lain pada model tersebut ialah seperti sistem brek cakera dengan ABS, fork depan teleskopik, suspensi belakang berkembar, tangki bahan api 15 liter, tinggi tempat duduk 790 mm, tayar bersaiz 100/90-19 (depan) dan 130/80-18 (belakang), dan berat penuh 226 kg.

Sementara itu untuk pasaran Malaysia, setakat ini belum ada maklumat rasmi bilakah model ini akan kembali ke pasaran Malaysia, di bawah Edaran Modenas Sdn. Bhd. (EMOS).

Untuk makluman, Kawasaki W800 sebelum ini pernah ditawarkan di pasaran Malaysia. Ketika itu model-model keluaran Kawasaki diedarkan oleh Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn. Bhd.

Jika Kawasaki W800 2024 ini dilancarkan semula di pasaran Malaysia pada tahun depan, ianya dijangka akan menerima sambutan yang baik daripada peminat motosikal tempatan.