MIROS (Malaysian Institute of Road Safety Research) dalam suatu kenyataan media pada kelmarin, telah mengumumkan sebanyak 12 buah model motosikal Modenas telah menerima penarafan 5 Bintang melalui program MyMAP (Malaysian Motorcycle Assessment Programme).
12 buah model motosikal tersebut ialah Elegan EX 250, Dominar D250, Dominar D400 Adventure, Versys-X 250, Versys 650, Vulcan S, Z650, Z900, Z900 SE, Ninja 650, Ninja ZX-25R SE, dan juga Ninja ZX-25RR. Kesemua model-model tersebut dilengkapi dengan sistem brek cakera dengan Sistem Brek Anti Kunci (ABS) di bahagian roda hadapan dan belakang.
Penggunaan ABS pada bahagian hadapan dan belakang motosikal dapat memberikan kestabilan kepada motosikal walaupun pada tekanan brek yang tinggi dan permukaan jalan yang licin. Motosikal ini juga menggunakan lampu jenis diod pemancar cahaya (LED) pada bahagian hadapan dan belakang. Model Z900, Z900 SE, Z650, Ninja 650, Versys 650, Ninja ZX-25R SE dan Ninja ZX-25RR turut dilengkapi dengan sistem kawalan cengkaman (TCS), yang membantu mengawal kestabilan motosikal terutamanya pada jalan selekoh dan licin.
Menurut MIROS lagi, Modenas bukan sahaja komited dalam memastikan motosikal yang dikeluarkan di pasaran mempunyai ciri keselamatan yang bagus, bahkan juga menawarkan latihan advokasi keselamatan jalan raya serta teknik menunggang motosikal secara berhemah dan berkesan menerusi MSRA (Modenas Safety Riding Academy). Pengenalan program seperti itu merupakan salah satu usaha yang wajar dicontohi oleh pengeluar motosikal yang lain.