Modenas Versys-X 250 2023 kini rasmi dilancarkan di pasaran Malaysia, harga RM 24,900.00

Edaran Modenas Sdn. Bhd. (EMOS) pada tarikh 06hb. September 2023, dengan rasminya melancarkan model terbaharu Modenas Versys-X 250 2023 untuk pasaran Malaysia. Model adventure tersebut mempunyai satu warna sahaja iaitu Lime Green / Ebony, dan ditawarkan dengan harga asas RM 24,900.00, tidak termasuk pendaftaran, insuran dan cukai jalan.

Menariknya, Modenas Versys-X 250 2023 hadir dalam varian Tourer, bermakna ianya sedia lengkap dengan beberapa aksesori menarik. Aksesori berkenaan termasuklah kotak bagasi sisi (side box), pelindung tangan (hand guard), penutup atau cover pelindung di bahagian bawah enjin, pelindung enjin (steel pipe engine guard), dan sepasang lampu kabus LED.

Juga terdapat soket kuasa (power outlet) untuk kemudahan mengecas telefon pintar ketika berada di jalanan. Di bahagian sistem penjana kuasa, Modenas Versys-X 250 ini dilengkapi enjin 248cc (parallel 2-cylinder, DOHC, 4-valve) dengan padanan kotak gear enam kelajuan dan sistem Assist & Slipper Clutch. Kuasa maksimum yang dihasilkan oleh enjin berkenaan mencapai 34PS @ 11,500rpm dengan tork puncak 21.7Nm @ 10,000rpm. Sebagai sebuah model adventure, ianya dilengkapi tangki petrol 17 liter untuk perjalanan yang lebih jauh.

Spesifikasi menarik lain yang melengkapinya ialah seperti brek cakera depan dan belakang dengan ABS, fork depan teleskopik, suspensi belakang monoshock (Bottom-Link Uni-Trak, gas-charged shock and adjustable preload), tayar depan dan belakang dengan rim berjejari bersaiz 100/90-R19 (depan) dan 130/80-R17 (belakang), dan tinggi tempat duduk 815 mm. Panel meter pula menggabungkan paparan analog dan digital dengan pelbagai maklumat.

Modenas Versys-X 250 2023 memiliki berat 181 kg (curb weight). Dengan pelancarannya di pasaran tempatan, peminat motosikal adventure di negara kita kini mempunyai sebuah lagi pilihan model terbaharu yang ditawarkan pada harga yang berpatutan. Sementara itu pada kelmarin, Modenas Ninja ZX-25R SE 2023 secara rasminya turut dilancarkan oleh EMOS.