Honda NT1100 2024 terima dua warna baharu di pasaran Eropah

Pada 26hb. September 2023 yang lepas, Honda Motor Europe dengan rasminya mengumumkan ketibaan dua warna baharu untuk model touring popular Honda NT1100 2024 di pasaran Eropah. Dua warna baharu itu ialah Matt Jeans Blue Metallic dan Candy Chromosphere Red, dan kedua-duanya ditawarkan bersama-sama pilihan warna Matt Iridium Gray Metallic dari musim 2023.

Ketiga-tiga warna tersebut kemudiannya turut menampilkan carrier belakang dengan skim warna baharu Matt Ballistic Black Metallic. Menurut Honda Motor Europe sejak NT1100 diperkenalkan di pasaran Eropah pada tahun 2022, lebih daripada 12,000 unit model tersebut telah terjual, dengan 66 peratus daripada pelanggannya memilih versi transmisi DCT (Dual Clutch Transmission).

Ini menjadikan Honda NT1100 sebagai model terlaris di pasaran Eropah pada tahun 2023, dalam kategori Touring. Untuk tahun 2024, Honda NT1100 kekal menawarkan tiga pilihan pakej aksesori iaitu Urban, Touring dan Voyage, yang termasuklah 50L top box, fog lights dan comfort seat, bagi meningkatkan lagi tahap keselesaan dan praktikaliti model tersebut sewaktu perjalanan jauh.

Honda NT1100 2024 kekal dikuasakan enjin bersesaran 1,084cc (Liquid-cooled, 4-stroke, 8-valve Parallel Twin) dengan padanan sistem transmisi manual enam kelajuan atau DCT enam kelajuan. Enjin yang diasaskan daripada enjin model adventure Honda CRF1100L Africa Twin itu berupaya  menjana kuasa maksimum 100.6hp @ 7,500rpm dengan tork maksimum 104Nm @ 6,250rpm.

Sebagai sebuah jentera pengembaraan jarak jauh, Honda NT1100 kemudiannya dilengkapi tangki bahan api maksimum 20.4 liter. Ciri-ciri menarik lain yang ditawarkan oleh NT1100 ini termasuklah lima pilihan mod tunggangan iaitu ‘URBAN, RAIN and TOUR, plus 2 customisable USER modes’, Honda Selectable Torque Control (HSTC), Wheelie Control, dan sistem brek ABS Dual Channel.

Melengkapkan lagi ciri-ciri standard pada Honda NT1100 2024 ini termasuklah skrin penghadang angin boleh laras, kotak bagasi sisi, heated grips, tongkat tengah, cruise control, pengecas USB dan ACC, panel meter TFT 6.5 inci (touch screen, full colour) dengan ciri sambungan Bluetooth, Apple CarPlay dan Android Auto, sistem lampu LED, dan juga Emergency Stop Signals (ESS).

Galeri : Honda NT1100 2024 (MT: 6-speed Manual Transmission)

Galeri : Honda NT1100 2024 (DCT: 6-speed Dual Clutch Transmission)