Sejak pelancaran Kawasaki Ninja ZX-4R dan Kawasaki Ninja ZX-4RR pada awal tahun ini, kini desas-desus mengenai pelancaran model dalam segmen yang sama oleh Honda semakin bertiup kencang. Setakat ini menurut Young Machine dari Jepun, Honda dikhabarkan bakal melancarkan semula model Honda CBR400RR generasi serba baharu, dengan enjin 399cc empat silinder.
Malah lebih dari itu, turut akan dilancarkan nanti ialah dua model baharu iaitu Honda CB400 dan CB400SB, juga dengan enjin dalam konfigurasi empat silinder. Jika ianya benar, ketiga-tiga model tersebut pastinya dilancarkan demi untuk memberikan saingan kepada Kawasaki. Bagaimanapun setakat ini pihak Honda masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan dan pengesahan rasmi.
Bagi Honda CBR400RR dengan enjin 399cc empat silinder, generasi pertamanya dikenali dengan nama CBR400R. Kemudiannya menyusul model keluaran tahun 1988 dengan nama CBR400RR, sehinggalah ke model generasi terakhir yang dijual di pasaran domestik Jepun dalam tahun 1994. Pada tahun 2013, Honda CBR400R telah dilancarkan semula di Jepun dengan enjin dua silinder.
Bagi model dalam segmen CB, Honda sememangnya ketika ini menawarkan model CB400 Super Four dan CB400 Super Bol D’or. Mungkin untuk model generasi terbaharu seterusnya, ianya akan muncul dengan gaya rekaan yang lebih menarik dan sporty. Diharapkan Honda akan benar-benar melancarkan model Honda CBR400RR, sebagai saingan dan pilihan kepada model Ninja ZX-4R.