Boon Siew Honda Singapore melancarkan Honda ADV350 2023

Melalui paparan di dalam laman sesawang Boon Siew Honda Singapore, Honda ADV350 2023 kini rasmi ditawarkan di pasaran Singapura. Model tersebut tampil dengan tiga pilihan warna iaitu Premium Silver Metallic, Mat Dahlia Red Metallic dan Mat Gray Metallic.

Honda ADV350 2023 itu merupakan produk buatan Thailand, dan ianya dikuasakan enjin bersesaran 330cc (Liquid-cooled 4-stroke OHC Single Cylinder) dengan transmisi automatik CVT. Kuasa maksimumnya 29hp (21.6kW) @ 7,500rpm dengan tork 31.8Nm @ 5,250rpm.

Berdasarkan maklumat yang disiarkan, kelajuan maksimumnya mencecah angka 133 km/j. Spesifikasi standardnya seperti fork depan USD, suspensi belakang berkembar, sistem brek cakera dengan ABS dan HSTC, dan tangki bahan api dengan kapasiti penuh 11.7 liter.

Honda ADV350 2023 berdiri di atas sepasang tayar bersaiz 120/70-R15 dan 140/70-R14. Tinggi tempat duduknya 795 mm, jarak kelegaan tanah 145 mm, dan beratnya 186 kg (kerb weight). Di bawah tempat duduknya tersedia ruang barangan dengan keluasan 48 liter.

Sebagai sebuah model skuter baharu yang serba moden, Honda ADV350 2023 dibekalkan dengan pelbagai ciri-ciri menarik. Antaranya ialah sistem lampu LED, paparan meter digital LCD dengan Honda Smartphone Voice Control, skrin penghadang angin dengan dua tahap pelarasan, Smart Key, pengecas USB Type-C, dan sistem brek Emergency Stop Signal.

Sementara itu untuk pasaran Malaysia, sehingga kini belum ada sebarang berita mengenai pelancaran Honda ADV350 ini. Namun dijangkakan yang ianya akan dilancarkan tidak lama lagi, mungkin pada hujung tahun ini, atau selewat-lewatnya mungkin pada tahun depan.