Yamaha Tracer 9 GT 2023 terima dua warna baharu di Malaysia, harga RM 69,998.00

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) kini memperkenalkan Yamaha Tracer 9 GT 2023 untuk pasaran Malaysia, dengan dua pilihan warna baharu Pure White dan Midnight Black.

Dengan pengenalan dua warna baharu itu, harganya kini meningkat sebanyak RM 500.00 berbanding model sebelumnya, kepada harga asas baharu RM 69,998.00.

Selain itu dengan setiap pembelian model adventure tersebut, HLYM turut menawarkan kunci cakera Yamaha secara percuma yang bernilai RM 100.00.

Selain daripada perubahan warna, Yamaha Tracer 9 GT 2023 masih mengekalkan aspek spesifikasi yang sama, termasuklah enjin tiga silinder bersesaran 889cc.

Enjin dengan prestasi 119PS @ 10,000rpm dan tork 93Nm @ 7,000rpm itu dipadankan transmisi enam kelajuan, Assist & Slipper Clutch dan Quick Shift System (QSS).

Spesifikasi lain termasuklah tangki bahan api 18 liter, sistem suspensi depan dan belakang KYB boleh laras, sistem brek cakera dengan ABS Dual Channel, panel meter TFT 3.5 inci, sistem lampu LED sepenuhnya, dan juga pemanas genggaman (heated grips).

Tempat duduknya mempunyai dua peringkat pelarasan iaitu pada 810 mm dan 825 mm, manakala tayar depan dan belakangnya berukuran 120/70-17 dan 180/55-17.

Di bahagian elektronik, ianya merangkumi unit IMU 6-axis, Traction Control System (TCS), Slide Control System (SCS), LIFt Control System (LIF), Brake Control (BC), dan juga Cruise Control.

Untuk pasaran Malaysia, Yamaha Tracer 9 GT 2023 didatangkan dengan jaminan selama 2 tahun atau 20,000 km perjalanan, berdasarkan yang mana tiba dahulu.