Salah sebuah model moped berprestasi tinggi yang ditawarkan untuk pasaran Malaysia pada ketika ini ialah Benelli R18i 2021, yang dilancarkan pada April 2021 yang lalu.
Model tersebut didatangkan dalam dua pilihan varian iaitu Standard dan Special Edition, dan tampil dengan pilihan warna Black, Red (Standard) dan Blue (Special Edition).
Benelli R18i 2021 dilengkapi enjin bersesaran 174cc (single-cylinder, 4-stroke, 4-valves, SOHC), dengan kuasa maksimum 18hp @ 9,500rpm dan tork 15.1Nm @ 7,000rpm.
Enjin itu dilengkapi sistem suntikan bahan api elektronik, ‘throttle body’ 34 mm, dan tiga palam pencucuh (B3SP System). Sistem transmisi pula merupakan enam kelajuan.
Spesifikasi menarik lain adalah seperti fork depan USD, suspensi belakang monoshock KYB dengan ciri boleh laras, dan sistem brek cakera di roda depan dan belakang.
Selain itu ialah sistem lampu LED dengan lampu depan projektor dan lampu DRL, panel meter digital LCD, dan sistem kunci dengan penutup magnetik yang lebih selamat.
Benelli R18i 2021 turut dilengkapi tuil brek dan klac boleh laras, ruang kompatmen yang luas di bahagian depan, tangki bahan api 4.8 liter, dan tinggi tempat duduk 787 mm.
Di bahagian roda, ianya menggunakan sepasang tayar berukuran 80/80-17 (depan) dan 120/70-17 (belakang). Berat keseluruhan model moped sporty itu mencapai 126 kg.
Berkenaan harga, Benelli R18i 2021 ini ditawarkan dengan harga asas yang berpatutan iaitu sebanyak RM 7,999.00 (Standard) dan RM 8,299.00 (Special Edition) sahaja.