Di pasaran Vietnam pada ketika ini, Honda Winner X yang ditawarkan merupakan versi facelift terbaharu yang telah dilancarkan pada bulan Disember 2021 yang lepas.
Model moped tersebut kini menggunakan cover set baharu yang lebih sporty, termasuk lampu signal depan jenis terbina dalam berbanding lampu signal luaran Honda RS-X.
Ciri-ciri baharu yang lain pada Honda Winner X generasi baharu itu ialah seperti sistem kunci Smart Key, port pengecas USB dan rantai O-ring (seal chain) yang lebih lasak.
Bagaimanapun model tersebut masih belum mampu memuaskan hati peminat setianya, kerana masih belum dilengkapi dengan beberapa ciri yang lebih moden dan canggih.
Ciri-ciri tersebut ialah seperti Assist & Slipper Clutch, HSTC, ABS Dual Channel, tangki bahan api yang lebih luas, dan paling penting tentunya kapasiti enjin yang lebih besar.
Disebabkan itulah timbulnya desas-desus mengenai pelancaran Honda Winner X 160, yang dijangkakan bakal berlangsung pada tahun ini, atau mungkin pada tahun depan.
Jika benar Honda Winner X 160 serba baharu akan dilancarkan kelak, boleh jadi ciri-ciri baharu yang disebutkan tadi akan diperkenalkan pada model super moped berkenaan.
Honda Winner X 160 dengan enjin 160cc, Assist & Slipper Clutch, HSTC dan ABS Dual Channel pastinya menjadi ramuan lengkap untuk menjadikannya model nombor satu.
Pada masa yang sama jika ianya dilancarkan di pasaran Vietnam, bermakna pasaran Malaysia akan turut menerima model yang serupa, dikenali sebagai Honda RS-X 160.
Apabila Honda RS-X 160 dilancarkan nanti, secara tidak langsung ianya akan menjadi pencabar sebenar kepada model moped tercanggih ketika ini iaitu Yamaha Y16ZR.
Namun begitu setakat ini pelancaran Honda Winner X 160 di pasaran Vietnam masih lagi merupakan suatu spekulasi dan khabar angin, yang masih belum dapat disahkan.
Galeri : Honda Winner X 2023 (New Sports Version)