Di pasaran Malaysia, Honda RS-X secara rasminya dilancarkan pada tarikh 01hb. November 2021. Model tersebut seterusnya diperkenalkan dalam versi Repsol Edition pada tarikh 15hb. April 2022. Pada hari ini pula, Boon Siew Honda dengan rasminya memperkenalkan Honda RS-X 2023, dalam tiga pilihan skim warna terbaharu iaitu Trico Edition, Candy Caribbean Blue dan Lemon Ice Yellow.
Bagi pilihan warna Candy Caribbean Blue dan Lemon Ice Yellow, Honda RS-X 2023 kini ditawarkan dengan harga asas sebanyak RM 9,698.00. Bagi pilihan warna Trico Edition pula harga jualan asas yang ditetapkan ialah sebanyak RM 9,748.00 (tanpa pendaftaran, insuran dan cukai jalan). Jaminan yang ditawarkan adalah selama 2 tahun atau 20,000 km jarak perjalanan, yang mana tiba dahulu.
Menurut Boon Siew Honda, Honda RS-X 2023 akan berada di pasaran secara rasmi bermula tarikh 04hb. Januari 2023. Sementara itu selain daripada pilihan skim warna terbaharu, Honda RS-X 2023 tidak menerima sebarang naik taraf terbaharu melibatkan spesifikasi teknikal dan juga enjin. Model moped berkenaan kekal dengan spesifikasi dan ciri-ciri yang ditawarkan seperti model sebelumnya.
Honda RS-X 2023 dikuasakan enjin bersesaran 149.16cc (penyejukan cecair, DOHC, empat lejang, PGM-FI) dengan padanan transmisi enam kelajuan. Enjin itu menawarkan kuasa maksimum 15.8hp @ 9,000rpm dengan tork maksimum 13.6Nm @ 7,000rpm. Kapasiti tangki bahan api model seberat 122 kg itu kekal 4.5 liter. Tinggi tempat duduknya ialah 795 mm, dan jarak kelegaan bumi 148 mm.
Spesifikasi dan ciri-ciri lain pada Honda RS-X 2023 ini termasuklah fork depan teleskopik, suspensi belakang monoshock, sistem brek cakera depan dan belakang dengan ABS Single Channel, tayar depan dan belakang dalam siri 90/80-17 dan 120/70-17, panel meter digital LCD, dan sistem lampu LED sepenuhnya. Untuk anda, saksikan galeri menarik Honda RS-X 2023 seperti mana di bawah.