Kawasaki Ninja ZX-4R 2023 tampil dengan warna serba hitam

Kawasaki baru-baru ini secara rasmi memperkenalkan jentera sport bike empat silinder terbaharu Kawasaki Ninja ZX-4R 2023, yang tampil dengan skim warna serba hitam.

Menurut Kawasaki, Ninja ZX-4R merupakan varian standard, yang kemudiannya diikuti varian pertengahan Ninja ZX-4R SE dan varian teratas dan premium Ninja ZX-4RR.

Berdasarkan maklumat rasmi di dalam laman sesawang Kawasaki, Ninja ZX-4R ketika ini hanya boleh didapati dengan satu pilihan warna sahaja iaitu Metallic Spark Black.

Di bahagian sistem penjana kuasa, ianya merupakan enjin 399cc (4-stroke In-Line Four, DOHC, 16 valves) dengan padanan transmisi 6-kelajuan dan Assist & Slipper Clutch.

Enjin empat silinder berprestasi tinggi itu mampu menawarkan kuasa maksimum 77PS, dan boleh mencecah 80PS dengan Ram Air. Berat jentera itu pula hanyalah 188 kg.

Selanjutnya, Ninja ZX-4R dilengkapi fork depan SFF-BP, suspensi belakang Horizontal Back-link, dan brek cakera depan berkembar 290 mm dengan kaliper radial-mount.

Di bahagian roda, ianya menggunakan tayar depan dan belakang bersaiz 120/70-ZR17 dan 160/60-ZR17. Tinggi tempat duduknya 800 mm, dan kapasiti tangki petrol 15 liter.

Pelbagai spesifikasi menarik lain termasuklah Integrated Riding Modes (with KTRC and Power Modes), panel TFT dengan Circuit Mode, dan ciri sambungan ke telefon pintar.

Selain itu ialah ABS Dual Channel, Economical Riding Indicator dan Electronic Throttle Valves. Adakah model ini akan masuk ke pasaran Malaysia? Sama-sama kita tunggu.