Di pasaran domestik Jepun, Honda menawarkan model cruiser Honda Rebel 250 2023 dan Honda Rebel 250 S Edition 2023, yang kini tampil dengan pilihan warna baharu.
Bagi model Honda Rebel 250, ianya tampil dengan tiga pilihan warna baharu iaitu Pearl Smoky Gray, Matt Gunpowder Black Metallic dan Pearl Metalloid White yang elegan.
Honda Rebel 250 S Edition pula tampil dengan dua pilihan warna baharu iaitu Titanium Metallic dan Candy Diesel Red, di samping rim roda dengan warna yang lebih sporty.
Varian S Edition juga dilengkapi cowl lampu depan dan cover fork depan. Sementara itu di bahagian enjin, kedua-dua model kini telah mematuhi piawaian emisi paling terkini.
Harga jualan yang ditawarkan ialah sebanyak 610,500 Yen (RM 20,455.65) untuk varian Rebel 250, dan sebanyak 649,000 Yen (RM 21,745.65) untuk Rebel 250 S Edition.
Honda Rebel 250 dan Rebel 250 S Edition dilengkapi enjin 249cc (liquid-cooled, DOHC, 4-valve, single cylinder) dengan transmisi enam kelajuan dan Assist & Slipper Clutch.
Prestasi maksimum yang dihasilkan mencapai 26PS @ 9,500rpm dengan tork 22Nm @ 6,500rpm. Kedua-dua model tersebut seterusnya dilengkapi tangki bahan api 11 liter.
Ciri-ciri menarik lain seperti sistem brek cakera dengan ABS Dual Channel, panel meter digital, sistem lampu LED, dan tempat duduk yang selesa dengan ketinggian 690 mm.
Honda Rebel 250 2023 dan Honda Rebel 250 S Edition 2023 dilengkapi sepasang tayar bersaiz 130/90-16 dan 150/80-16. Berat masing-masing hanyalah 171 kg dan 172 kg.