Zontes baru-baru ini rasmi melancarkan model cruiser terbaharu Zontes 350S 2022 untuk pasaran China. Boleh didapati dalam dua pilihan warna, harga untuk model berkenaan ditetapkan sebanyak CNY 23,800, bersamaan nilai RM 14,858.79 (kadar semasa). Zontes 350S dikuasakan enjin 348cc (single cylinder, liquid cooled, DOHC, Bosch EFI) dengan transmisi 6-kelajuan dan slipper clutch.
Enjin itu menghasilkan kuasa maksimum 38.88hp @ 9,500rpm dengan tork maksimum 32.8Nm @ 7,500rpm. Sistem suspensinya merupakan gandingan antara fork depan upside-down dan suspensi belakang mono dengan linkage system, manakala sistem brek cakera lengkap dengan sistem Dual Channel ABS. Model itu seterusnya menggunakan tayar dalam saiz 120/70-R17 dan 180/55-R17.
Spesifikasi dan ciri-ciri menarik lain pada Zontes 350S adalah seperti dua mod tunggangan Comfort dan Sports, tangki bahan api 16 liter, sistem kunci keyless, panel instrumen TFT, sistem lampu LED, dua pengecas pantas USB, pelbagai butang kawalan di handlebar dengan fungsi elektrik, sistem pemantauan tekanan tayar, lengan ayun jenis sebelah, dan rim aloi aluminium sporty yang ringan.
Zontes 350S 2022 turut mempunyai sistem sambungan ke telefon pintar yang dihubungkan melalui paparan panel meter digitalnya. Sebagai sebuah model cruiser bergaya klasik, ianya menawarkan corak tunggangan selesa dengan ketinggian tempat duduk hanya 750 mm, di samping berat penuh 188 kg sahaja. Jarak kelegaan buminya (minimum ground clearance) berada pada paras 170 mm.