Pengedar motosikal Kawasaki di pasaran Malaysia iaitu Edaran Modenas Sdn. Bhd. (EMOS), hari ini dengan rasminya mengumumkan ketibaan model Kawasaki Ninja ZX-10R 2022 untuk pasaran Malaysia. Harga asas untuk model versi CBU itu adalah sebanyak RM 112,600.00, tidak termasuk pendaftaran, insuran dan cukai jalan. Model tersebut kini telah berada di pusat pameran terpilih.
Kawasaki Ninja ZX-10R merupakan sebuah jentera supersport berprestasi tinggi, yang dikuasakan enjin bersesaran 998cc (Liquid-cooled, 4-stroke In-Line Four, DOHC, 16 valves) dengan gandingan transmisi enam kelajuan. Enjin berkenaan menghamburkan kuasa maksimum 201hp @ 14,000rpm dengan tork maksimum 111.8Nm @ 11,700rpm. Kapasiti penuh tangki bahan apinya ialah 17 liter.
Pelbagai spesifikasi dan teknologi canggih melengkapi Kawasaki Ninja ZX-10R generasi terbaharu ini, antaranya seperti sistem suspensi berprestasi tinggi Showa, Öhlins Electronic Steering Damper, panel instrumen digital TFT (with smartphone connectivity via RIDEOLOGY THE APP), dan sistem brek depan daripada Brembo dengan cakera berkembar 304 mm dan kaliper dengan empat piston.
Selain itu ianya juga memiliki sistem elektronik Kawasaki Cornering Management Function (KCMF), Bosch IMU, Sport-Kawasaki TRaction Control (S-KTRC), Kawasaki Launch Control Mode (KLCM), Kawasaki Intelligent anti-lock Brake System (KIBS), Kawasaki Engine Brake Control, Power Modes, Kawasaki Quick Shifter (KQS), mod tunggangan Sport, Road, Rain dan Rider, dan Cruise Control.
Kawasaki Ninja ZX-10R turut dilengkapi lampu depan dan belakang LED. Di bahagian roda, ianya berdiri di atas tayar depan dan belakang masing-masing dalam saiz 120/70-17 dan 190/55-17, dan tempat duduknya mempunyai ketinggian 835 mm. Berat keseluruhannya ialah 207 kg (curb mass). Menurut EMOS, tempahan untuk Kawasaki Ninja ZX-10R telah dibuka secara rasmi mulai hari ini.