Honda Dream 125 2023 di pasaran Kemboja kini dilengkapi lampu depan LED, enjin 125cc PGM-FI

Di pasaran Kemboja, Honda Dream 125 2023 baru saja diperkenalkan, kini dilengkapi lampu depan jenis LED bersama-sama lampu posisi LED. Di bahagian enjin, ianya bersesaran 123.94cc dengan teknologi sistem suntikan bahan api PGM-FI yang cekap, seterusnya dipadankan dengan transmisi empat kelajuan. Jumlah kuasa dan tork daripada enjin tersebut bagaimanapun tidak didedahkan.

Dari segi penampilannya, Honda Dream 125 2023 ini masih mengekalkan gaya rekaan yang serba sederhana, termasuklah rim roda yang masih berjejari dan panel meter yang masih analog. Namun apa yang menarik pada model kapcai berkenaan adalah kemasan keseluruhannya yang kelihatan premium, di samping penggunaan grafik yang elegan dengan sentuhan warna emas yang mewah.

Oleh kerana Honda Dream 125 di pasaran Kemboja ini telah pun dilengkapi lampu depan jenis LED yang lebih moden dan sporty, jadi adakah ini bermakna Honda EX5 di pasaran Malaysia akan turut menerima naik taraf yang sama selepas ini? Mungkin sudah tiba masanya Honda EX5 dinaik taraf dengan lampu LED, panel meter digital, enjin 125cc dan sistem brek depan cakera dengan ABS.