Honda Dio110 2022 terima pilihan warna baharu di pasaran Jepun

Di pasaran domestik Jepun, model skuter Honda Dio110 2022 telah menerima pilihan warna baharu Poseidon Black Metallic, bermula bulan Julai yang lepas. Selain itu, tiga pilihan warna sebelumnya Matte Starry Blue Metallic, Pearl Jasmine White dan Descent Silver Metallic masih lagi ditawarkan. Harga jualan yang ditetapkan adalah bermula dari 242,000 Yen, bersamaan nilai RM 7,832.27.

Honda Dio110 dilengkapi enjin eSP dalam sesaran 109cc (air-cooled 4-stroke OHC single cylinder) dengan teknologi Idling Stop yang ekonomi dan mesra alam sekitar. Dipadankan transmisi V-matic, enjin itu menawarkan kuasa maksimum 8.7PS @ 7,500rpm dengan tork 9Nm @ 5,750rpm. Skuter seberat 96 kg itu kemudiannya dibekalkan tangki bahan api dengan kapasiti maksimum 4.9 liter.

Untuk tunggangan yang selesa dan lincah, Honda Dio110 dibangunkan di atas casis canggih eSAF (Enhanced Smart Architecture Frame) yang kukuh dan ringan. Sistem brek dilengkapi Combi-Brake System yang menawarkan operasi brek yang seimbang di antara kedua-dua roda. Saiz roda model berkenaan ialah 80/90-14 (depan) dan 90/90-14 (belakang), dengan tinggi tempat duduk 760 mm.

Untuk lebih kemudahan, Honda Dio110 tampil dengan sistem Honda Smart Key, panel meter yang mudah dibaca dengan paparan petunjuk ECO, ruang storan di bahagian depan, ruang barangan 18 liter di bawah tempat duduk, tersedia pencangkuk di bawah handle untuk kemudahan menyangkut barangan dan beg, serta turut dilengkapi dengan tongkat tengah untuk kegunaan pelbagai situasi.