Pada bulan Jun 2022 yang lepas, Ducati Malaysia dengan rasminya melancarkan enam buah model baharu untuk pasaran Malaysia, iaitu Ducati Streetfighter V2, Ducati Streetfighter V4 SP, Ducati Multistrada V2 S, Ducati Panigale V2 Bayliss 1st Championship 20th Anniversary, Ducati Scrambler Urban Motard, dan Ducati Scrambler 1100 Tribute PRO 2022.
Untuk pasaran Malaysia, Ducati Scrambler 1100 Tribute PRO ditawarkan dengan harga asas RM 85,900.00, tidak termasuk pendaftaran, insuran dan cukai jalan. Dari segi penampilan, ianya tampil dengan skim warna tunggal Giallo Ocra yang unik, sebagai suatu penghormatan untuk enjin dua silinder sejukan udara yang pernah diperkenalkan oleh Ducati pada tahun 1971 yang lalu.
Model tersebut kemudian diperlengkapkan dengan logo Ducati tahun 1970an yang direka oleh Giugiaro, kemasan livery Giallo Ocra yang juga merupakan elemen dari tahun 1970an, rim berjejari berwarna hitam dalam saiz 18 inci (depan) dan 17 inci (belakang), tempat duduk baharu berwarna coklat, dan cermin pandang belakang bergaya klasik dengan rekaan berbentuk bulat.
Menjengah sistem penjana kuasanya, Ducati Scrambler 1100 Tribute PRO dilengkapi enjin bersesaran 1,079cc (L-Twin, Desmodromic distribution, 2 valves per cylinder, air cooled) yang menghamburkan kuasa maksimum 86hp @ 7,500rpm dengan tork maksimum 88Nm @ 4,750rpm. Enjin itu seterusnya dipadankan dengan sistem transmisi enam kelajuan.
Ciri-ciri standardnya adalah seperti tiga pilihan Riding Modes (Active, Journey and City), Ducati Traction Control (DTC), ABS Cornering, sistem lampu LED sepenuhnya termasuk lampu depan dengan lampu DRL LED, panel meter LCD, tangki bahan api dengan kapasiti maksimum 15 liter, soket pengecas USB di bawah tempat duduk, dan berat yang mencapai 211 kg (kerb weight).