KTM Malaysia pada kelmarin dengan rasminya melancarkan model sports terbaharu KTM RC 390 2022 untuk pasaran tempatan. Majlis pelancaran berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), bersempena dengan penganjuran acara MotoGP Malaysia 2022. Harga jualan asas yang ditawarkan adalah sebanyak RM 33,800.00, tidak termasuk pendaftaran, insuran dan cukai jalan.
KTM RC 390 2022 kini tampil dengan gaya rekaan serba baharu yang diilhamkan daripada jentera perlumbaan MotoGP. Ini menjadikan penampilannya kelihatan lebih besar dan lebih menyerlah, termasuk prestasi aerodinamik yang kini berada pada tahap optimum. Rekaan serba baharu itu juga dikatakan telah mengoptimumkan tahap perlindungan daripada angin dan cuaca.
Lebih dari itu, model tersebut juga kini menawarkan tahap tunggangan yang lebih ergonomik dan selesa, dalam semua situasi tunggangan harian atau ketika beraksi dalam kelajuan tinggi di litar pada hujung minggu. Tahap pengendalian model itu yang cemerlang dan tangkas sebenarnya turut disumbangkan oleh pengurangan berat motosikal berkenaan secara signifikan.
KTM RC 390 generasi terbaharu kini dibangunkan di atas kerangka ultra-lightweight dengan penjimatan berat sehingga 1.5 kg, sistem brek yang kini 960 gram lebih ringan, dan juga rekaan rim roda baharu yang begitu sporty dengan pengurangan berat sehingga 3.4 kg. Di bahagian suspensi pula, ianya turut menerima naik taraf terbaharu yang kini lebih segar dan berprestasi.
Pada bahagian roda depan, ianya dilengkapi fork upside-down 43 mm WP APEX open cartridge dan penyerap hentak belakang WP APEX, yang mana kedua-duanya boleh dilaraskan. Bagi menjamin tahap keselamatan tertinggi, sistem brek ByBre tampil dengan cakera 320 mm di bahagian depan dan cakera belakang 230 mm, lengkap dengan teknologi Supermoto ABS.
Menjengah sistem penjana kuasa pada KTM RC 390 ini, ianya bersesaran 373cc (liquid cooled, 1-cylinder, 4-stroke) yang kini menawarkan kuasa maksimum 42.9hp dengan tork 37Nm. Enjin yang disemak semula untuk prestasi pecutan dan tunggangan yang lebih lancar itu kemudiannya dipadankan dengan transmisi enam kelajuan, slipper clutch dan Quickshifter+ sebagai pilihan.
Pelbagai teknologi terkini dan canggih turut melengkapi model berkenaan. Ianya termasuklah Cornering ABS, Cornering MTC (Motorcycle Traction Control), panel instrumen TFT serba baharu yang boleh dihubungkan dengan aplikasi KTM My Ride, dan lampu depan LED dengan rekaan serba baharu yang telah digabungkan dengan lampu LED Daylight Running Lights (DRL).
Sistem ekzos kini menerima sentuhan rekaan daripada jentera perlumbaan MotoGP RC16, yang menggabungkan stainless steel headers dan muffler aluminium, untuk penampilan yang lebih sporty dan bunyi yang lebih garang. Akhir sekali tangki bahan api kini mempunyai kapasiti 13.7 liter, tinggi tempat duduk berada pada paras 824 mm, dan berat keringnya hanyalah 155 kg.