HLYM pamer Yamaha YZF-R7 World GP 60th Anniversary Edition 2022, pelancaran dijangka pada tahun depan

Bertempat di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bersempena dengan acara perlumbaan MotoGP Malaysia 2022 (21 – 23 Oktober 2022), salah sebuah model motosikal terbaharu yang sangat menarik yang telah dipamerkan oleh Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) di tapak pameran mereka ialah Yamaha YZF-R7 World GP 60th Anniversary Edition 2022.

Melalui pameran itu, tidak dapat dinafikan lagi bahawa HLYM bakal melancarkan model sport bike berkenaan untuk pasaran Malaysia, yang dijangka akan berlangsung pada tahun depan. Di pasaran antarabangsa ketika ini, Yamaha YZF-R7 ditawarkan dalam beberapa pilihan warna yang menarik, termasuklah dalam skim warna istimewa World GP 60th Anniversary Edition.

Skim warna itu tampil dengan kemasan badan berwarna putih dan grafik blok merah, emblem 60th Anniversary, jalur merah di atas tangki bahan api dan ekor, fender depan berwarna merah, plat nombor depan berwarna kuning, dan juga rim berwarna emas. Spesifikasi teknikal pula tidak berubah, masih sama seperti mana pilihan warna-warna standard yang lain.

Yamaha YZF-R7 World GP 60th Anniversary Edition 2022 dikuasakan enjin dalam kapasiti 689cc (2-cylinder, liquid-cooled, EURO5, 4-stroke, 4-valves, DOHC), yang kemudiannya dipadankan dengan sistem transmisi enam kelajuan dan Assist & Slipper Clutch. Enjin tersebut menghasilkan kuasa maksimum 73.4PS @ 8,750rpm, dengan tork puncak 67Nm @ 6,500rpm.

Berkenaan harga yang bakal ditawarkan, mungkin kita boleh merujuk kepada model yang sama di pasaran Thailand. Untuk pasaran Thailand, Yamaha YZF-R7 telah dilancarkan pada bulan Oktober 2021 yang lepas, dengan harga jualan bermula dari THB 339,000, bersamaan RM 42,230.19 mengikut kadar semasa. Adakah harga di pasaran Malaysia kelak di bawah RM 45k?