Honda CB750 Hornet 2023 rasmi diperkenalkan di pasaran Eropah

Pada tarikh 04hb. Oktober 2022 baru-baru ini, Honda rasmi memperkenalkan model terbaharu Honda CB750 Hornet 2023, bertempat di acara Intermot Motorcycle Fair 2022 yang diadakan di Cologne, Jerman. Untuk pasaran Eropah, empat pilihan warna ditawarkan iaitu Pearl Glare White, Graphite Black, Matte Iridium Gray Metallic dan Mat Goldfinch Yellow.

Dari segi penampilannya, Honda CB750 Hornet menawarkan gaya rekaan yang sporty, lincah dan kelihatan pantas. Menurut Honda, model tersebut menggunakan kerangka steel-diamond serba baharu yang ringan, seterusnya digandingkan bersama-sama fork depan jenis terbalik Showa 41mm SFF-BP dan suspensi monoshock Pro-Link dengan ciri pelarasan prabeban.

Pada bahagian brek depan, CB750 Hornet dilengkapi sepasang cakera 296 mm (Nissin radial mount 4 piston calipers), diikuti brek cakera tunggal 240 mm (single piston caliper) di bahagian belakangnya. Tidak dilupakan ialah sistem ABS Dual Channel. Beralih ke bahagian roda, tayar depan dan belakangnya masing-masing tampil dalam siri 120/70-17 dan 160/60-17.

Aspek prestasi memperlihatkan Honda CB750 Hornet dikuasakan enjin 755cc (Liquid-cooled OHC 4-stroke 8-valve Parallel Twin with 270° crank and uni-cam) dengan transmisi enam kelajuan dan Assist & Slipper Clutch . Enjin serba baharu yang kompak dan ringan itu menawarkan kuasa maksimum 90.5hp @ 9,500rpm, dengan tork maksimum 75Nm @ 7,250rpm.

Menjengah ke bahagian elektronik, turut tersedia ialah Throttle By Wire (TBW) dengan tiga pilihan mod tunggangan lalai iaitu Rain, Standard dan Sport, yang mengawal tetapan Engine Power, Engine Brake dan Honda Selectable Torque Control dengan integrasi Wheelie Control. Mod User pula membolehkan penunggang memilih sendiri tetapan yang mereka inginkan.

Honda CB750 Hornet seterusnya dilengkapi panel instrumen TFT 5.0 inci berwarna, sistem Honda Smartphone Voice Control dengan ciri sambungan ke Android dan IOS, sistem lampu LED sepenuhnya, lampu signal dengan ciri auto cancel, Emergency Stop Signal (ESS), tangki bahan api 15.2 liter, tinggi tempat duduk 795 mm, dan berat hanya 190 kg (kerb weight).

Untuk pasaran Eropah, jentera naked serba baharu itu boleh didapati dengan tiga pilihan pek aksesori iaitu Sport Pack, Style Pack dan Touring Pack, seperti mana berikut :

  • Sport Pack : Quickshifter, fly screen, rear seat cowl and rider footpegs
  • Style Pack : Bar end weights, handlebar upper clamp holder, tank pad, wheel stripes and skid bungs
  • Touring Pack : Rear panniers, tank bag and seat bag