Suzuki Raider R150 2023 untuk pasaran Vietnam baru saja diperkenalkan pada dua hari yang lepas. Namun model berkenaan hanya menerima kemaskini tiga pilihan warna baharu, tanpa ada sebarang naik taraf spesifikasi atau pun ciri-ciri yang terkini. Untuk pasaran Vietnam, harga yang ditawarkan adalah sebanyak VND 50,990,000, bersamaan nilai RM 9,827.48.
Kita imbas kembali maklumat mengenai enjinnya, iaitu bersesaran 147.3cc (Liquid Cooled, DOHC, 4 Valves, Fuel Injection) dan dipadankan dengan sistem transmisi enam kelajuan. Jumlah kuasa maksimum yang dihasilkan oleh jentera moped berkelajuan tinggi itu mencapai angka 18.5hp (13.6kW) @ 10,000rpm, dengan tork maksimum mencecah 13.8Nm @ 8,500rpm.
Antara ciri-ciri menarik yang ditawarkan oleh Suzuki Raider R150 ini adalah seperti fork depan teleskopik, suspensi belakang monoshock, brek cakera depan dan belakang, tangki bahan api 4.0 liter, tayar depan bersaiz 70/90-17 dan tayar belakang bersaiz 80/90-17, rim aloi sporty, tinggi tempat duduk 765 mm, jarak kelegaan tanah 150 mm, dan berat keseluruhan 112 kg.
Di samping itu, Suzuki Raider R150 turut dilengkapi lampu depan LED yang agresif, panel meter digital sepenuhnya, sistem kunci Shutter Key yang lebih selamat, Suzuki Easy Start System, dan ruang storan di bahagian tengahnya. Di pasaran Malaysia, Suzuki Raider R150 2022 telah dilancarkan pada bulan Mac yang lepas, dengan harga jualan asas sebanyak RM 8,173.00.