Salah sebuah model sport bike kelas pertengahan yang ditawarkan di pasaran Malaysia pada ketika ini ialah Aprilia RS 660. Ditawarkan dengan harga asas RM 69,900.00, dua pilihan warna boleh didapati untuk model tersebut iaitu Lava Red dan Apex Black. Untuk pasaran luar negara, bagaimanapun tersedia model edisi terhad yang lebih menarik.
Model berkenaan ialah Aprilia RS 660 Limited Edition 2022, yang telah diperkenalkan di EICMA 2021 pada November tahun lepas. Hanya 1,500 unit dikeluarkan, dengan setiap daripadanya mempunyai nombor siri eksklusif. Selain itu, penampilannya telah diserikan dengan corak jalur dan bintang yang diinspirasikan daripada bendera Amerika Syarikat.
Berbanding versi standard, personaliti sport Aprilia RS 660 Limited Edition ditingkatkan lagi dengan kehadiran ‘single-seat tail-fairing cover’, namun tempat duduk penumpang belakang masih disediakan untuk sesi tunggangan berdua. Perbezaan lain termasuklah skrin penghadang angin yang lebih besar, untuk tahap perlindungan yang lebih baik.
Aprilia RS 660 Limited Edition juga mempunyai perisian yang membolehkan pemiliknya menala semula kotak gear quick shift dalam konfigurasi upside-down. Ianya bermakna bergantung kepada keperluan, pemiliknya boleh menala semula kotak gear sepenuhnya dengan sendiri, tanpa menggantikan mana-mana bahagian, ideal untuk sesi ‘track day’.
Untuk anda yang bertanya kenapa model edisi terhad ini dikeluarkan, antara sebabnya ialah bagi meraikan pencapaian jentera tersebut yang sebelum ini berjaya mendominasi perlumbaan Twins Cup 2021 di Amerika Syarikat, dengan 10 kemenangan daripada 13 pusingan perlumbaan. Harga jualannya adalah sebanyak $ 11,999.00 (RM 54,937.42).