Di pasaran Malaysia, Modenas menawarkan model naked Pulsar NS160. Namun tidak lama lagi, mungkin model tersebut akan digantikan dengan model terbaharu yang baru saja diperkenalkan di pasaran India dalam bulan Jun 2022 yang lepas. Model terbaharu itu ialah Bajaj Pulsar N160 2022, yang kini tampil lebih berkuasa dan lebih sporty.
Lihat dulu bahagian enjinnya. Bajaj Pulsar N160 dikuasakan enjin bersesaran 164.82cc (single cylinder, 4 stroke, SOHC, 2 valve, oil cooled, FI) dengan kuasa maksimum 16PS @ 8,750rpm dan tork setinggi 14.65Nm @ 6,750rpm. Enjin itu seterusnya digandingkan dengan sistem transmisi lima kelajuan. Kapasiti tangki bahan apinya pula ialah 14 liter.
Bajaj Pulsar N160 2022 berdiri di atas tayar depan dan belakang dalam siri 100/80-R17 dan 130/70-R17. Sebelum itu dimaklumkan bahawa model tersebut didatangkan dalam pilihan dua varian iaitu Dual Channel ABS dan Single Channel ABS. Perbezaan antara dua varian tersebut melibatkan fork depan, saiz brek cakera depan dan juga jenis ABS.
Bagi varian Dual Channel ABS, fork teleskopik depannya bersaiz 37 mm, dan bersaiz 31 mm untuk varian Single Channel ABS. Brek cakera depan bagi varian Dual Channel ABS pula berdiameter 300 mm, manakala varian Single Channel ABS dilengkapi cakera depan 280 mm. Brek cakera belakang untuk kedua-dua varian adalah sama 230 mm.
Spesifikasi dan ciri-ciri menarik lain yang melengkapi Bajaj Pulsar N160 adalah seperti rekaan lampu depan yang lebih sporty dan agresif, yang kini menggunakan lampu jenis ‘Bi functional LED projector headlamp with LED DRLs’. Lampu belakang juga jenis LED yang terang. Untuk kemudahan, ianya turut dilengkapi pengecas telefon bimbit USB.
Pada bahagian kokpit, panel meter digitalnya memaparkan pelbagai informasi penting seperti petunjuk gear, jam dan tahap ekonomi bahan api. Tinggi tempat duduknya ialah 795 mm, yang menawarkan ciri tunggangan yang bukan saja ergonomik malah lincah. Penampilannya kemudian disempurnakan oleh tabung ekzos di bahagian bawah. Berat kedua-duanya ialah 154 kg (Dual Channel ABS) dan 152 kg (Single Channel ABS).
Untuk pasaran India, varian Dual Channel ABS hanya tersedia warna tunggal Brooklyn Black, dan tiga pilihan warna iaitu Caribbean Blue, Racing Red dan Techno Grey untuk varian Single Channel ABS. Harga jualan adalah sebanyak INR 122,854 (RM 6,937.34) untuk Single Channel ABS, dan INR 127,853 (RM 7,219.62) untuk Dual Channel ABS.
Artikel berkaitan :