Galeri : Keeway Cafe Racer 152 2022 versi facelift terbaharu

Untuk peminat motosikal bergaya cafe racer pada harga yang mampu milik, di pasaran tempatan ketika ini terdapat model Keeway Cafe Racer 152 2022, yang tampil dengan tiga pilihan warna hijau, hitam dan merah. Model itu merupakan versi facelift terbaharu, diperkenalkan sejak Mac 2022 dengan harga asas sebanyak RM 6,888.00 sahaja.

Berbanding model generasi sebelumnya, Keeway Cafe Racer 152 2022 kini dilengkapi cover pelindung lampu depan, suspensi belakang kini tanpa subtank, dan tempat duduk kini tampil rata tanpa penutup di bahagian pembonceng. Spesifikasi teknikal melibatkan enjin, brek, lampu dan panel meter pula didapati kekal sama seperti versi sebelumnya.

Di bahagian enjin, model berkenaan dilengkapi enjin bersesaran 149cc, dengan sistem karburetor, penyejukan udara, seterusnya dipadankan kotak gear lima kelajuan. Jumlah kuasa maksimum yang dihasilkan enjin itu mencapai paras 11.4hp @ 8,500rpm, dengan tork setinggi 11.1Nm @ 6,000rpm. Kapasiti penuh tangki bahan apinya ialah 12.1 liter.

Spesifikasi menarik lain pada model cafe racer yang sporty itu termasuklah fork depan teleskopik dengan cover bergaya klasik, sistem brek cakera pada bahagian roda depan, sepasang tayar yang dipasangkan pada rim jenis lidi, lampu depan dan belakang yang direka berbentuk bulat, dan juga speedometer yang tampil dalam rekaan bulat klasik.