CFMOTO 250 CL-X 2022 kini di pasaran Indonesia, diedarkan oleh MForce Indonesia

Untuk pasaran negara jiran Indonesia, model naked bergaya klasik terbaharu CFMOTO 250 CL-X 2022 kini telah pun ditawarkan secara rasmi sejak lebih dua bulan yang lalu. Model tersebut diedarkan oleh MForce Indonesia (anak syarikat MForce Bike Holdings Sdn. Bhd.), dengan harga jualannya dikatakan sekitar Rp. 62 juta (RM 18,715.65).

CFMOTO 250 CL-X mempunyai reka bentuk dan penampilan yang sporty dan menarik. Ianya boleh dikatakan versi lebih kecil kepada model CFMOTO 700 CL-X, yang ketika ini telah ditawarkan di pasaran Malaysia. Namun untuk CFMOTO 250 CL-X, belum ada maklumat mengenai pelancarannya di pasaran Malaysia oleh MForce Bike Holdings.

Melihat ke bahagian enjinnya, ianya bersesaran 249.2cc (single cylinder, 4-stroke, liquid cooled, 4-value, DOHC) dengan gandingan sistem transmisi enam kelajuan dan CF-SC Slipper Clutch. Enjin itu menghasilkan prestasi yang cukup memuaskan, dengan janaan maksimum 19.5kW (26.14hp) @ 9,750rpm dan tork maksimum 22Nm @ 7,250rpm.

Di bahagian suspensi, CFMOTO 250 CL-X dilengkapi fork depan terbalik dan suspensi belakang jenis monoshock. Sistem brek cakera depan dan belakangnya masing-masing bersaiz 292 mm dan 220 mm, lengkap dengan sistem Continental ABS. Tinggi tempat duduknya ialah 795 mm, dengan sepasang tayar dalam siri 110/70-17 dan 150/60-17.

Selain itu, CFMOTO 250CL-X 2022 ini turut dilengkapi sistem lampu LED, panel meter digital berbentuk bulat, kusyen tempat duduk yang selesa, dan corak tunggangan yang santai dan ergonomik. Model yang mempunyai berat hanya 155 kg itu dilengkapi tangki bahan api dengan kapasiti sehingga 14 liter, untuk jarak perjalanan yang lebih jauh.